Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan pusat tidak pernah menafikan
hak rakyat Kelantan dalam apa jua perkara termasuk dalam isu tuntutan
bayaran tunai daripada hasil petroleum.
Perdana Menteri berkata kerajaan BN sentiasa berlaku adil dan telus kepada semua rakyat Malaysia termasuk rakyat Kelantan.
"Sebagai
kerajaan pimpinan BN, kita mesti ikut perintah Allah. Antaranya kita
mesti berlaku adil bila kita memerintah, kerajaan BN memang berlaku adil
kepada rakyat Malaysia," katanya semasa berucap pada Majlis Berbuka
Puasa Perdana Menteri Bersama Rakyat dan Penyampaian Bantuan Kebajikan
Masyarakat di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Perdana di Bachok, malam
ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
yang juga Pengerusi Barisan Nasional Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa
Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ketua Umno Bachok
Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Berucap di hadapan lebih
20,000 orang penduduk Bachok, Najib menegaskan kerajaan pusat
sememangnya berlaku adil dan telus dengan tidak memilih "bulu" dan
membezakan fahaman politik, dalam memenuhi kepentingan rakyat.
"Kita
berlaku adil kepada rakyat Malaysia. Kita takut kepada Allah, kita
tidak takut kepada yang lain. Kita tidak tipu sebab itu bila timbul isu
royalti minyak, isu petroleum...isu ini tidak dapat kita selesaikan
sehingga ini.
"Datuk Pa (Mustapa) jadi sasaran, Awang Adek jadi
sasaran, saya juga jadi sasaran, kononnya kami ini tipu rakyat Kelantan.
Di bumi Kelantan ini, bulan Ramadan, kami tidak menafikan hak rakyat
Kelantan.
"Kita nak berlaku adil, telus, nak buka buku baru
kepada rakyat Kelantan bahawa kerajaan pusat tidak menafikan hak walau
satu tong minyak pun," katanya.
Perdana Menteri berkata bagi
menyelesaikan isu tuntutan bayaran tunai itu, kerajaan Pusat menubuhkan
sebuah Jawatankuasa Khas bagi mengkaji secara adil dan telus berhubung
isu itu kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang.
"Bertindak mesti
berdasarkan Perlembagaan Negara, mengambil kira telaga minyak di mana,
Petronas akan beri penjelasan, telaga minyak ada di lautan luas milik
kerajaan pusat. Tapi kita memutuskan lima peratus dibayar sebagai
bayaran tunai supaya rakyat Kelantan, Terengganu dan Pahang dapat,"
katanya.
Najib berkata beliau sudah mengutus surat kepada Sultan
Kelantan Sultan Muhammad V dan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat untuk memilih seorang wakil bagi menganggotai jawatankuasa itu.
Beliau
mahukan wakil itu seorang yang tidak berpihak kepada mana-mana parti
sebaliknya mempunyai semangat dan jiwa rakyat Kelantan.
Perdana
Menteri gembira dengan kehadiran begitu ramai rakyat Kelantan dalam
majlis yang dihadirinya sebelum ini dan juga hari ini, yang menunjukkan
sokongan mereka kepada BN.
Beliau berkata rakyat Kelantan
mahukan perubahan dan BN sudah bersedia untuk melakukan tranformasi
termasuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih.
Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan pembinaan Hospital Bachok yang akan dimulakan pada tahun depan.
- Bernama