8 Ogos, SHAH ALAM - Tengku Razaleigh
Hamzah berharap isu tuntutan royalti minyak Kerajaan Negeri Kelantan
akan diselesaikan segera kerana ia bukan rumit dan tidak melibatkan
Kerajaan Pusat.
Bekas Pengerusi Petronas berkata, isu
berkenaan timbul hanya kerana Petronas tidak menunaikan hak Kerajan
Negeri Kelantan seperti yang termaktub dalam perjanjian semasa Kelantan
menyerahkan sepenuhnya hak milik Petroleum kepada syarikat minyak negara
itu.
Beliau beberapa kali menekankan bahawa isu royalti lima peratus itu adalah antara Kerajaan Negeri dan Petronas.
"Jadi sekarang Petronas yang bertanggungjawab menyelesai perkara ini
dengan kerajaan negeri, jadi tak berbangkit lagi soal pertikaian antara
sesiapa pun cuma kelemahan Petronas kerana tidak membayar kepada
kerajaan negeri," katanya dalam temu bual dengan Astro Awani hari ini.
Bekas Menteri Kewangan ini mengulas
penubuhan Jawatankuasa Tuntutan Royalti Negeri-negeri Pantai Timur yang
diumumkan Perdana Menteri, Sabtu lalu.
Jawatankuasa itu akan dianggotai wakil
kerajaan Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan sultan
masing-masing. Ia akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun
Abdul Hamid Mohamad.
Tengku Razaleigh juga berharap semua
pihak yang terlibat dalam jawatankuasa itu dapat mencari penyelesaian
yang terbaik demi kepentingan rakyat.
"Saya harap dengan ikhlaslah cuba
selesaikan tuntutan rakyat ini kerana ini adalah hak dan milik mereka
jadi kalau kita berlengah-lengah susahlah semua pihak dan saya percaya
kerajaan mahu jawatnkuasa khas ini bekerja bersungguh-sungguh untuk
menyelesaikan perkara ini.
"Bagi saya kerjanya mudah sangat, rujuk balik kepada akta dan perjanjian itu saya rasa selesailah," katanya.
Beliau juga menyatakan kesediaan menawarkan khidmat nasihat sekiranya diminta oleh jawatankuasa berkenaan.
Tengku Razaleigh adalah Pengerusi Petronas yang menandatangani perjanjian tersebut dengan Kerajaan Negeri Kelantan pada 1975.
Dalam wawancara dengan Astro Awani
baru-baru ini, beliau mahu kerajaan BN menyelesaikan isu royalti sebelum
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Dalam pada itu, Tengku Razaleigh
membidas sikap pihak tertentu yang didakwa suka berdolak dalih dalam
itu royalti minyak Negeri Kelantan.
Ahli Parlimen Gua Musang itu dalam
Facebooknya kelmarin mempersoalkan “Mengapa kita masih suka
berdolak-dalik dalam perkara yang begitu jelas seperti yang termaktub
dalam akta dan perjanjian yang telah ditandatangani dan dipersetujui?”
Beliau menghubungkan komen tersebut
kepada muka hadapan Akta 144 - Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang
menyatakan dengan jelas kedudukan royalti minyak untuk Kelantan dan
lain-lain negeri.
Najib telah menghantar surat kepada
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menghantar
nama wakil kerajaan negeri untuk menyertai jawatankuasa tersebut.
Sumber : Sinar Harian
Wartawan Sinar Harian
link: http://www.sinarharian.com.my/nasional/ku-li-selesai-segera-isu-royalti-1.74721