29 Januari 2013
Katanya, beliau tidak sedikitpun terjejas dengan pendedahan tersebut yang mengaitkannya sebagai pemilik banglo tersebut selain menimbulkan pelbagai persoalan termasuk mempertikaikan kemampuannya memiliki kediaman besar dan mewah seperti itu.
Menurutnya, banglo tersebut dibina di atas tanah seluas 7,000 kaki persegi yang dibelinya pada 2004 berjumlah RM15 setiap kaki dengan harga istimewa sebagai kakitangan awam ketika itu.
Tambahnya, beliau mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan sekiranya ada pihak ragu-ragu terhadapnya.
“Ketika itu nilai tidak sampai RM1juta pun. Malah, pembinaan rumah itu dibuat secara berperingkat-peringkat dengan mengamalkan penjimatan ketika bekerja dalam kerajaan termasuk wang simpanan bersama isteri.
“Saya juga turut menjual dua buah rumah teres di kawasan Gombak dan Shah Alam untuk membina rumah dua tingkat setengah itu,” katanya.
Fauzi mengakui memang ada tunjuk perasaan yang membantah pembinaan banglo itu kerana ia berhampiran Masjid Negeri dan sebuah hotel terkemuka di kawasan berkenaan.
"Nilai hartanah kini yang semakin meningkat menyebabkan orang ramai mempertikaikan kemampuan beliau memiliki rumah di kawasan terbabit," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan gambar banglo mewah itu di shahalamrebels.blogspot.com.
Blog tersebut menimbulkan beberapa persoalan termasuk bertanyakan dari mana datangnya sumber kekayaan Fauzi hingga mampu membina banglo mewah tersebut.
Antara persoalan yang diketengahkan di blog tersebut adalah: "Mana datangnya duit untuk membina sebuah mahligai mewah yang dikatakan punya kemudahan lif ini?
"Adakah kekayaan ini dikumpul ketika berkhidmat di dalam kerajaan dahulu?" dan "Pembinaan banglo mewah ini pernah mendapat bantahan penduduk di situ kerana dibina di kawasan riadah.
"Ataupun benar dakwaan kononnya beliau menerima RM15,000 setiap kali berceramah?"
Mengulas lanjut, Fauzi menjelaskan, walaupun hampir 10 tahun berlalu, rumah itu pun masih belum siap sepenuhnya dan walaupun beliau bersama keluarga telah menduduki banglo terbabit setahun lalu.
“Harga dulu berbeza dengan sekarang dan logiklah jika orang ramai tertanya-tanya dengan satu-satunya harta saya itu. Empat anak lelaki saya turut membantu memberi dana,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihanraya Kawasan Larut berkata, tindakan beberapa pihak mendedahkan gambar rumahnya itu sedikit pun tidak menjejaskan gerak kerja beliau untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
“Saya langsung tidak berasa risau dengan pendedahan itu dan tidak menjejaskan gerak kerja saya untuk memenangi hati pengundi-pengundi di Parlimen Larut.
“Malah, tiada istilah takut dengan pengundi kerana saya telus terhadap perkara ini dan rakyat lebih memahami pemimpin mereka,” katanya.
//
BISNES DARI RUMAH. GUNA KMPUTER DAPAT INCOME.