MENGHITUNG hari detik demi detik. Kini hari yang ditunggu telah tiba. Impian kini hampir tercapai.
Bermula dengan perjalanan yang meletihkan dari Kuala Lumpur ke Heathrow dan terus ke Porto yang mengambil masa hampir satu hari untuk tiba. Seronok, berdebar dan juga tidak sabar untuk menanti detik tiba ke destinasi.
Sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Porto pada pukul 4 petang, saya amat gembira melihat rakan senegara, Nazmi Faiz menunggu ketibaan kami di Balai Ketibaan.
Kami berpelukan kegembiraan dan saya dapat rasakan kehadiran saya amat dialu-alukan.
Kami terpaksa ke Porto memandangkan ketiadaan tiket penerbangan terus ke Lisbon disebabkan cuti Krismas dan tahun baru.
Pengurus peribadi saya, Faisal Zakariah mencadangkan untuk ke Porto bertemu Nazmi yang secara kebetulan tiada perlawanan serta latihan sempena cuti tahun baru.
Kami bergerak dengan menaiki kenderaan untuk menuju tempat yang bernama Reguengos De Monsaraz. Perjalanan yang hampir atau lebih sejauh 500 kilometer ini memakan masa 6 hingga 7 jam untuk tiba.
Sungguh letih dan amat mencabar kerana perbezaan masa 8 jam di antara Malaysia dan Portugal benar-benar menguji saya.
Akhirnya kami tiba ke destinasi pada pukul 12.25 tengah malam.
Kehadiran kami disambut oleh ketua jurulatih Kelab Athletico Sporting Clube (ASC).
Hari yang ditunggu telah tiba. Tepat jam 2 petang tanggal 29 Disember 2012, detik bersejarah bagi hidup saya bermula.
Saya secara rasminya menjadi milik Kelab ASC dan segala impian saya untuk beraksi di Eropah kini menjadi kenyataan. Sebak dan pilu saya rasakan.
Saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Faisal Zakariah yang bertungkus lumus untuk memastikan impian ini menjadi satu realiti.
Terima kasih kepada keluarga saya yang memberikan sokongan padu yang tidak terhingga kepada saya serta juga agen saya, Marco Guimaraes.
Kami sempat menyaksikan perlawanan liga di antara pasukan saya ASC bertemu dengan Juventude SC dan berakhir dengan kemenangan memihak kepada pasukan saya. Rasa bagaikan tidak sabar untuk menyarung jersi pasukan baru namun ia bukan satu tugas yang mudah kerana saingan di sini amat tinggi dan kompetetif.
Saya terpaksa dan mesti menunjukkan komitmen yang tinggi untuk bersaing dengan beberapa pemain dari negara Afrika seperti Tanzania yang juga pernah mewakili negara mereka di peringkat umur bawah 21 tahun. Kebanyakan rakan pasukan baru saya ini berumur di antara 20 hingga 25 tahun. Kebanyakan mereka ini pernah bersama dan bermain di pasukan kelab yang ternama (bawah 19 tahun) seperti Kelab Porto FC, Benfica FC dan Sporting Lisbon FC. Saya juga difahamkan pada 6 Januari nanti pemain antarabangsa dari Kanada akan menandatangan kontrak bersama kelab ini.
Sepanjang perlawanan ini juga saya dapat melihat aksi yang terlalu pantas dan keras. Banyak yang perlu saya pelajari. Saya beranggapan bahawa kehadiran saya ini adalah ibarat seorang pelajar yang ingin menimba ilmu dan berusaha untuk memastikan mendapat keputusan yang cemerlang. Kini saya juga dapat rasakan bagaimana rakan-rakan saya yang belajar di luar negara menempuh segala dugaan dan halangan.
Saya perlu kuatkan semangat, tabah serta perlu berusaha dengan lebih gigih lagi. Kalau seorang pelajar itu pulang dengan kejayaannya dan Insya-Allah saya juga akan membawa pulang dengan kecemerlangan. Akhir kata doakan kejayaan saya serta penuh dengan keimanan.
Semoga kita bertemu dilain catatan. Selamat Tahun Baru 2013.
..