03 Apr 2013 03 Apr 2013 KANGAR: PAS Perlis mendahului Barisan Nasional dengan mengumumkan bakal calon yang akan bertanding dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU) nanti.
Pengumuman dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin (gambar) pada jam 11.15 pagi tadi, kira-kira suku jam sebelum Perdana Menteri mengisytiharkan pembubaran parlimen.
Majlis pengumuman calon ini dibuat dalam sidang media yang diadakan di Kompleks PAS yang turut dihadiri bakal-bakal calon, pimpinan dan ahli-ahli PAS.
Menurut Ustaz Hashim, PAS Perlis mengambil langkah membuat pengumuman calon kerana menyedari tarikh pemubaran parlimen yang semakin hampir selain usul-usul dari akar umbi parti agar semua calon yang akan bertanding dalam PRU13 hendaklah diperkenalkan lebih awal kepada para pengundi.
"Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis sedar bahawa sesungguhnya penangguhan pengumuman bakal-bakal calon akan mengundang banyak masalah kepada parti dan pengendalian kempen pilihanraya.
"Pada 15 Julai 2011 menerusi Majlis Pakatan Rakyat Negeri Perlis telah bersetuju sebulat suara memeterai memorandum persefahaman berkaitan pembahagian kerusi antara ketiga-tiga parti. Namun pengumuman kerusi-kerusi itu tertangguh selama setahun lapan bulan atas sebab-sebab tertentu,"jelasnya.
Bakal calon yang diumumkan bagi kerusi parlimen ialah Ketua Urusan Ulamak PAS Padang Besar, Ustaz Azamhari Mohamood (Padang Besar) dan Ahli Jawatankuasa PAS Kangar, Baharuddin Ahmad (Kangar).
Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din telah diumumkan sebelum ini bertanding di Parlimen Arau.
Bagi kerusi dewan undangan negeri pula, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir akan bertanding di Dun Santan; Timbalan Yang Dipertua PAS Padang Besar, Wan Kharizal Wan Khazim (Beseri) ; Setiausaha Pilihanraya Negeri, Abd Jamil Kamis (Bintong), Setiausaha Perhubungan, Ustaz Ya'akub Abu Seman (Kayang); Ketua Dewan Ulama Perlis, Ustaz Idris Yaacob (Pauh), peguam, Zulmi Sabri (Guar Sanji), Timbalan Pesuruhjaya 3, Rus'sele Eizan (Simpang Empat) dan Mohd Shukri Ramli (Sanglang).
Semua bakal calon hadir kecuali Dr Haron.