Pages

Thursday, June 20, 2013

Inilah hebatnya aura Tok Guru Nik Aziz - MB

Salmah Mat Husain, 20 Jun 2013



KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak akan meminggirkan anak muda di negeri itu termasuk mereka yang berada di luar Kelantan.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata memandangkan PRU13 lalu sumbangan besar kemenangan di negeri dibantu pengundi muda, kerajaan negeri tidak akan melupakan pengorbanan golongan itu.

Bagaimanapun usaha untuk mempertingkatkan ekonomi rakyat keseluruhan di negeri itu juga antara sebahagian dari agenda kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian kepada krew Harakahdaily Kuala Lumpur dalam sesi pertemuan dengannya yang diketuai Ketua Pengarang, Zulkifli Sulong, hari ini.(Gambar atas)

Menurut Ahmad lagi, antara tumpuan utama yang bakal diberikan selepas beliau diamanahkan memegang jawatan itu  dengan memberi penekanan khusus kepada golongan muda.

“Pada masa yang sama kita akan mempertingkatkan program pertanian yang sehingga kini ianya telah berjaya mencapai tahap sara diri,” ujarnya.

Dalam pertemuan ringkas itu, beliau memberitahu program pertanian dan kebajikan yang menjadi asas pentadbiran kerajaan negeri akan diteruskan.

Beliau tidak menafikan pelantikannya sebagai Menteri Besar begitu mengejutkannya.

“Memang saya masih tersasul, kadang-kadang bila tekan lif, saya tekan untuk ke tingkat dua, iaitu pejabat saya sebelum ini.

“Inilah hebatnya aura Tok Guru Nik Aziz, tidak mampu dicapai oleh saya,” ujarnya sambil tersenyum.

Beliau berkata, ianya begitu berbeza sekiranya Ketua Umum PKR menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

“Kalau Datuk Seri Anwar sebagai menteri, insya Allah baik,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun akan melaksanakan tanggungjawabnya itu sebaik mungkin dengan kerjasama semua pihak demi untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.