Wednesday, June 19, 2013

Penerbangan terus Kota Bharu ke Bangkok, Hanoi

Mohd Nor Yahya, 19 Jun 2013

KOTA BHARU: Syarikat penerbangan Firefly kini pada peringkat akhir kajian mengadakan penerbangan terus dari Kota Bharu ke Bangkok, Thailand dan Hanoi, Vietnam.

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Ignatius Ong berkata, pihaknya sedang dalam peringkat akhir kajian menjadikan Kelantan sebagai hub penerbangan jarak dekat di negara ini.

Katanya, matlamat syarikat itu memudahkan semua pihak menggunakan penerbangan untuk ke seluruh destinasi jarak dekat di rantau ini.

“Kami berharap kerajaan Kelantan memberi kerjasama sepenuhnya bagi merealisasikan matlamat tersebut.

“Ini secara tidak langsung membolehkan lebih ramai pelancong datang ke Kelantan bagi meningkatkan perkembangan ekonomi,” katanya pada pertemuan dengan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob di Kota Darulnaim hari ini.

Hadir sama pada pertemuan itu Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman.

Firefly sebelum ini mengadakan penerbangan terus dari Kota Bharu ke Singapura sebanyak empat kali seminggu bermula Ramadan tahun lepas.

Ignatius juga berkata, kadar permintaan penumpang di Kelantan begitu tinggi sehingga menyebabkan Firefly menyediakan lapan penerbangan sehari.

Ia meliputi Kota Bharu-Pulau Pinang, Kota Bharu–Subang dan Kota Bharu-Senai, Johor. Firefly milik penuh Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

Sementara itu Md Anizam berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi kerjasama kepada mana-mana syarikat penerbangan dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan.

“Dengan adanya kemudahan pengangkutan yang lebih baik, ia akan dapat membantu meningkatkan perkembangan sektor pelancongan.

“Adalah dijangka dengan adanya penerbangan terus dari Kota Bharu ke Bangkok dan Hanoi dan sebaliknya, akan dapat meningkatkan lagi kadar pertumbuhan ekonomi di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan tersebut.

Beliau juga berharap kerajaan pusat memberi kelulusan kepada mana-mana syarikat penerbangan yang berminat mengadakan penerbangan ke destinasi antarabangsa dari Kelantan.

juice delima original : http://ymr-produk.blogspot.com