Pages

Sunday, June 9, 2013

Teknologi moden dan pengalaman petani perlu diselarikan

Oleh :Hasnan Yahya
Che Abdullah merasmikan Hari Terbuka dan Bertemu Pelanggan Jabatan Pertanian Machang
MACHANG :     Hubungan yang erat antara golongan petani dan perkembangan terkini dalam teknologi moden dalam bidang pertanian seharusnya digabungkan sebaik mungkin dalam usaha meningkatkan hasil pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata petani perlu peka dengan perkembangan semasa teknologi moden yang boleh memudahkan lagi usaha dalam bidang pertanian dan meningkatkan hasilnya.
Katanya lagi golongan petani seharusnya mempercayai dengan kemampuan anak muda hari ini yang telah melibatkan diri dalam pengkajian ilmu pertanian termasuklah dalam penyediaan benih-benih baru, penggunaan baja organik, dan pelbagai cara lagi dalam meningkatkan hasil sesuatu tanaman.
“Kerjasama yang erat antara petani, kakitangan jabatan pertanian serta golongan muda yang melibatkan diri dalam bidang pertanian akan memberi kesan yang positif dalam usaha menyambut hasrat kerajaan negeri dalam menjayakan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara” katanya lagi.
Che Abdullah berkata demikian di Majlis Hari Terbuka dan Bertemu Pelanggan Jabatan Pertanian Jajahan Machang baru baru ini.
Turut hadir Adun Kemuning Mohd Roseli Ismail dan Pengarah Pertanian Kelantan Ab’Llah Ismail dan Pemangku Pegawai Pertanian Machang Mohd Zawawi Shafii.
Che Abdullah juga mengalu-alukan mana-mana institusi pendidikan yang mempunyai pakar dalam bidang pertanian dan mempunyai idea-idea baru untuk sama-sama dikongsikan bersama kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan hasil pertanian rakyat negeri ini.
Che Abdulah dan Adun Kemuning Roseli Ismail melawat gerai pameran dan jualan
Beliau juga berharap petani perlu berfikiran terbuka dan berani mengubah cara pertanian sejajar dengan perkembangan dunia hari ini dan tidak terikat dengan cara pertanian tradisonal selama-lamanya.
“Perancangan stratejik telah dibuat oleh kerajaan negeri dalam usaha menjayakan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara dan ia tidak akan berjaya tanpa kerjasama padu dari seluruh golongan petani di negeri ini dalam usaha itu, kerajaan sentiasa membuka ruang untuk mana-mana pihak dalam mengadakan kerjasama bagi meningkatkan hasil pertanian negeri ini”ujar beliau lagi.
Sementara itu, Pengarah Pertanian Kelantan Ab’Llah Ismail ketika ditemui media berkata langkah mengadakan Hari Terbuka dan Hari Bertemu Pelanggan di adakan ialah bagi mengeratkan hubungan antara golongan petani dan kakitangan jabatan dalam usaha mengenali lebih rapat permasalahan yang dihadapi golongan tersebut.
Menurut beliau lagi dengan adanya hari terbuka tersebut juga golongan petani dapat memasarkan terus hasil pertanian mereka untuk orang ramai dan ini dapat meningkatkan pendapatan petani itu juga.

Melalui program seperti ini juga orang ramai yang berminat dalam bidang pertanian boleh bersemuka dengan pegawai dan kakitangan jabatan bagi mendapat maklumat dan tunjuk ajar dalam usaha melibatkan diri dalam bidang pertanian.