Pages

Monday, July 1, 2013

Maahad tahfiz terbesar di Sabak Bernam - Sallehen

KUALA LUMPUR: Maahad Tahfiz Sains yang terbesar di Selangor di Bagan Terap, Sabak Bernam dijangka akan siap suku tahun hadapan, kata Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian, Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi.
Menurutnya, kerajaan negeri bercadang untuk membina dua lagi maahad tahfiz yang baru di kawasan Sepang dan Selayang.

Beliau yang juga Adun Sabak berkata, bagi maahad tahfiz di Bagan Terap itu, kerajaan negeri dalam proses membaikpulih bangunan Institusi Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) yang lama supaya ia boleh digunakan untuk maahad tersebut.

“Kita merangka untuk lima tahun ini, kita mahu tubuhkan tiga maahad tahfiz,” ujarnya dipetik Selangorku.

Katanya, tujuan utama perancangan menubuhkan Maahad Tahfiz Sains adalah untuk melahirkan ramai pelajar penghafaz Al-Quran.

“Di samping itu pelajar juga tidak ketinggalan meningkatkan prestasi akademik mereka,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadhan di Masjid Negeri Shah Alam, kelmarin. (Gambar atas)

Untuk permulaan, katanya Maahad Tahfiz Sains Bagan Terap akan menampung seramai 500 pelajar.

“Saya amat berharap bilangan pelajar akan meningkat kepada 1,000 sehingga 2,000 pelajar. Mungkin mengambil masa selama tiga sehingga empat tahun lagi,” katanya.

Pada majlis sumbangan itu, sebanyak RM2.7 juta diperuntukkan kepada masjid dan surau seluruh negeri bagi sumbangan program moreh Ramadhan.

Sebanyak 394 masjid menerima RM1,650 manakala 196 surau solat Jumaat menerima RM1,250 dan 1,883 surau lain menerima RM1,000.