Tuesday, July 23, 2013

Mengharapkan eksperimen baru politik 16:16

Ahmad Lutfi Othman, 23 Jul 2013
Walaupun tidak dapat turun ke Kuala Besut merasai sendiri getar dan debar PRK yang kritikal itu, saya cuba membayangkan para pengundi di sana mungkin sedang dilayan bagaikan raja. Senario jumlah kerusi Dun Terengganu, 16:16. menjadi igauan negeri pemimpin tertinggi BN.

Selain bermacam-macam projek segera dicurahkan, ditambah dengan pelbagai janji dan tawaran, kempen merayu undi BN sudah pasti berlegar rancak dengan rasuah politik. Bukankah Terengganu mempelopori bantuan tunai melalui wang ehsan dalam usaha menggulingkan kerajaan PAS selepas 1999, lama sebelum BR1M dan segala insentif lain dikemukakan Najib Razak?

Prestasi Pakatan Rakyat, khususnya PAS di Terengganu dalam PRU13 cukup mengejutkan. Ketika rata-rata penganalisis dan pemerhati politik tidak meletakkan harapan tinggi BN mungkin tumbang -- malah secara sinikal ada pihak meramalkan sekiranya BN kalah di Putrajaya sekalipun,  ia tetap sukar digugat di Terengganu -- pencapaiannya dianggap luar jangkaan dan tidak terduga.

Justeru, bagi PAS, Terengganu masih merupakan antara kubu terkuatnya, sekali gus menepis tohmahan bahawa Parti Islam itu hanya boleh menang dengan bantuan dan sokongan masyarakat Tionghua. PAS tetap menjadi pilihan orang Melayu.

Saya yakin episod gelap kekalahan mengejut 2004 tidak lagi menganggu langkah PAS Terengganu untuk terus  mendekati gelodak rasa rakyat, menyantuni masyarakat terpinggir dan akhirnya kembali menaungi pemerintahan negeri, insya-Allah.

Sememangnya kali ini pengundi Kuala Besut begitu istimewa dan bertuah sekali. Eksperimen politik 24 Julai nanti tidak pernah dilalui oleh pemilih di kawasan lain. Tiba-tiba saja mereka diangkat menjadi penentu -- bukan saja memutuskan siapa wakil rakyat baru, malah mampu menukar kerajaan baru -- di bulan Ramadan pula, menjelang Syawal yang selalunya dihiasi dengan, duit raya, tawaran bonus dan seumpamanya! Pengundi Kuala Besut berupaya mengukir sejarah tersendiri dalam landskap politik dunia sebenarnya.


Situasi impian 16:16 wajar direalisasikan, antara lainnya, demi kepentingan dan manfaat rakyat Terengganu sendiri. Keadaan genting seumpama itu tidak semestinya menjerumuskan negeri ke dalam perangkap yang memudaratkan, apatah lagi suasana huru-hara, malah sebaliknya ia boleh mendorong kerajaan BN untuk mengangkat martabat rakyatnya yang rata-rata masih terkepung dengan kemiskinan.

Suasana "seri" dapat memaksa kerajaan BN agar lebih berhemat dan cermat, terutama dalam mengurus-tadbir khazanah kekayaan negeri dan dapat menamatkan babak luka "negeri dan pemimpin kaya, tapi rakyat terus papa". Tanpa peralihan kerajaan, tapi dalam situasi 16:16, rakyat akan mendapat banyak manfaat dan kelebihan.

Fungsi "semak dan imbang" dapat berjalan secara cukup berkesan, malah lebih penting anggota kerajaan dan pembangkang akan diuji permuafakatan mereka dalam isu-isu melibatkan kepentingan rakyat agar dapat berkerjasama dan bertolak ansur, jauh mengatasi kepentingan politik kepartaian.

Naib Presiden PAS, Husam Musa, yang juga Pengarah PRK, dilaporkan berkata kerajaan Terengganu di bawah pemerintahan BN masih boleh dikekalkan. "Cumanya nanti BN tidaklah boleh bertindak sesuka hati. Kami sebagai pengimbang mempunyai peranan yang konstruktif untuk mencadangkan pengurusan negeri yang berorientasikan kebaikan rakyat jelata Terengganu," katanya.


Fenomena runtuh -- bermula dengan stadium, dan terkini  masjid -- yang menjadi-jadi di Terengganu adalah manifestasi kepincangan ketara kerajaan negeri, yang sarat dengan elemen rasuah serta salahguna kuasa, dan situasi 16:16 boleh membantu Terengganu menganjak kepada kedudukan yang lebih baik.

Bagaimanapun, peranan strategik itu tidak mudah dilakukan pengundi Kuala Besut. Umpan, rayuan, sogokan dan rasuah bertindan-tindih. Dari jauh, jika meneliti halaman akhbar dan siaran berita TV, seperti selalunya, seolah-olah yang bertanding hanyalah calon BN. Sesekali keluar berita calon PAS, Che Long; itu pun hanya sisi-sisi gelap saja yang disiarkan.

Eksploitasi jentera, kemudahan dan sumber kerajaan untuk diperkakaskan semahunya oleh BN dalam kempen seolah-olah bukan lagi satu isu besar. Begitu juga manipulasi media. SPR seolah-olah harimau tiada taring dan SPRM pula hilang kata-kata melihat penyalahgunaan kuasa dan rasuah mega. Bagi saya korupsi terbesar ialah usaha membeli undi dalam pilihan raya sepertimana yang lazim dilakukan BN.

Oleh itu, tindakan pengurusan kem tentera Gong Kedak, di Besut, yang dilaporkan menghalang Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menunaikan solat Maghrib di masjid TUDM itu tidaklah memeranjatkan. Semuanya mungkin gara-gara kebimbangan Tok Guru boleh mempengaruhi kecenderungan mengundi.

Pilihan raya adil dan bebas bukan berlegar sekitar kontroversi riuh-rendah dakwat kekal yang mudah tanggal itu. Banyak lagi persoalan asas dalam sistem demokrasi yang terus dipersendakan, dan jarang-jarang diberi perhatian serius,  termasuk oleh pihak yang menjadi mangsa; sepertimana Black505 yang sudah dilipat sejarah!

Secara peribadi, melangkah ke fasa kedua Ramadan, saya masih terkesan dengan insiden rampasan kuasa tentera di Mesir, yang menggulingkan presiden yang dilantik secara demokratik, Dr Mohamed Morsi. Saya sempat mewawancara Prof Dr Redzuan Othman di kediamannya, Ahad lalu, dan ulasannya cukup menarik untuk dikongsi bersama.

Sepatah katanya, apa yang berlaku di Mesir bukannya revolusi, tetapi hanya peralihan kuasa daripada Hosni Mubarak kepada Morsi, sedangkan institusi lainnya, seperti tentera, polis, hakim, kakitangan awam, media dan lain-lain, tetap tidak terusik.

"Ikhwan Muslimin yang ditindas dahsyat sejak 1952 dan baru bergerak bebas pada 2011, harus mampu bertahan di jalan-jalan raya, dengan kehadiran 2, 3 juta penyokong. Jika mereka undur datau berpecah, habis ... tentera akan bertindak lebih zalim, dengan skrip yang sama seperti 60 tahun lalu," katanya.