Sunday, July 28, 2013

Program kebajikan tanpa peruntukan kerajaan

Ahmad Danial,

MELAKA: Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek menegaskan walaupun PAS dan wakil rakyatnya tidak mendapat peruntukan dari kerajaan negeri namun program kebajikan terus dilaksanakan sebagai merealisasikan slogan Negara Berkebajikan yang diperjuangkan PAS.

'Kita telah masukkan dalam manifesto PRU13 antaranya ingin meningkatkan bantuan kepada fakir miskin dan golongan tidak bernasih baik.

'Peruntukan dan bantuan yang diberikan kepada fakir miskin sekarang tidak cukup untuk meringankan beban mereka kerana ianya mengambil kira keadaan semasa 15 tahun dahulu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Sutera Kasih Tautan Hati bantuan kepada anak yatim, fakir miskin dan ibu tunggal anjuran bersama Pusat Khidmat Adun Bukit Baru dan Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka di pekarangan Pejabat Adun Bukit Baru, Taman Bukit Katil di sini pagi ini.

Beliau juga menyeru anak-anak yatim, fakir miskin dan ibu-ibu tunggal supaya berusaha untuk memperbaiki kehidupan mereka dengan menambah ilmu dan sentiasa taat kepada perintah Allah.

'Jika kita taat kepada Allah, insya Allah kita akan dibantu oleh Allah dalam urusan kehidupan kita," tambah beliau.

Seramai 115 anak-anak yatim, fakir miskin dan ibu-ibu tunggal diraikan pada majlis yang menjadi acara tradisi PAS pelbagai peringkat bagi meringankan beban mereka yang tidak bernasib baik.

Mereka adalah antara golongan yang sentiasa dibantu oleh PAS dan PR melalui wakil rakyat dan organ parti.

Sementara itu Adun Bukit Baru, Dr Khalid Kassim mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program yang penuh makna tersebut.

"Kami menyumbangkan sedikit sumbangan berupa beras, barang makanan dan wang bagi meringankan beban mereka khususnya menjelang hari raya.

"Program ini akan dijadikan acara tahunan sebagai salah satu cara kita membantu rakyat yang tidak bernasih baik" ujarnya.

Ketua Dewan Muslimat negeri, Kintan Man berkata penerima-penerima bantuan tersebut datang dari seluruh pelosok negeri ini.

''PAS sentiasa prihatin dengan kebajikan rakyat khususnya mereka yang terdiri dari anak-anak yatim, fakir miskin dan ibu-ibu tunggal.

“Program Sutera Kasih Tautan Hati ini kita anjurkan setiap tahun sebagai tanda ingatan kita kepada golongan tersebut," katanya.
Turut hadir pada program tersebut ialah Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong; dan Ketua Dewan Pemuda negeri, Yuhaizad Abdullah..


IKLAN
BUNCIT?... MIGRAN??... STRESS??... KENCING MANIS??... GOUT??... BUASIR??... STROKE?? KEMBALI KPD PERUBATAN mengikut al-quran dan hadis... http://drusilastore.blogspot.com