Wan Ahmad Wan Omar
Wan Ahmad Wan Omar
 
KUALA BESUT - Semua kenderaan yang digunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi meninjau pusat pengundian pada pilihan raya akan datang akan ditampal pelekat suruhanjaya bagi mengelakkan kejadian ditahan penyokong parti.
 
Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, penguatkuasaan itu perlu dilakukan supaya penyokong parti yang berkumpul berdekatan pusat pengundian tidak keliru atau berasa sangsi dengan kehadiran kenderaan konvoi yang memasuki kawasan pengundian.
 
Beliau berkata demikian semasa mengulas pengalaman beliau ditahan penyokong parti pembangkang semasa meninjau pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Kampung
Baharu di sini, semalam.
 
"Kejadian yang berlaku hari ini (semalam) disebabkan tersilap identiti dan kita faham bahawa orang-orang parti politik ini tidak mahu mengganggu tugasan SPR dan pemimpin mereka sendiri membantu saya untuk keluar daripada kawasan itu.
   

"Bagaimanapun bukan mudah untuk pemimpin parti menenangkan keadaan kerana penyokong-penyokong ini dalam keadaan marah, ditambah dengan jumlah mereka yang begitu ramai menyebabkan sukar untuk pemimpin parti mengawal penyokong mereka," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Dewan Majlis Daerah Besut di sini, malam tadi.

Wan Ahmad juga berkata, larangan penyokong parti berada dalam jarak 50 meter daripada pusat pengundian akan dikuat kuasakan, termasuk kawasan rumput dan pokok yang dijadikan tempat untuk penyokong-penyokong parti berkumpul.
 
"Mereka (penyokong) tahu tentang larangan berkumpul dalam jarak itu menyebabkan mereka tidak berkumpul di atas jalan raya, sebaliknya berhimpun di kawasan-kawasan rumput dan bila berlaku satu insiden, sukar untuk mengawal keadaan kerana mereka begitu hampir dengan pintu masuk pusat pengundian," katanya.
 
Semalam, Wan Ahmad berdepan dengan situasi cemas apabila kereta yang dinaikinya dan empat kereta yang digunakan SPR untuk meninjau proses pengundian ditahan kira-kira 200 penyokong Pas kerana menganggap kereta itu membawa pemimpin parti daripada pihak lawan.