Pages

Sunday, July 28, 2013

Tokoh Muda

Tokoh muda menggalas cabaran

Nasrudin Hassan, 28 Jul 2013
Mendepani cabaran untuk menguasai pasaran gerak kerja Amal Islami menuju PRU14 sekali gus menongkah arus pasca PRU13 memerlukan gandingan mantap tokoh  veteran yang berpengalaman dengan tokoh muda yang bertenaga dan memiliki visi jelas buat perjuangan Islam yang suci dokongan Parti Islam Se-Malaysia [PAS]. Tanpa menafikan ketokohan, kehebatan dan keperluan tenaga tokoh veteran, masa depan jamaah memerlukan tokoh muda lebih ramai diberi laluan untuk mengambil posisi penting dalam kepimpinan.

Perkara paling asas ialah warisan dan proses peralihan kepimpinan jamaah. Ia perlu dilihat serius oleh semua peringkat organ jamaah Islam ini. Tanpa prejudis, jangan sampai laluan kepimpinan "tersumbat" gara-gara tokoh veteran ‘enggan’ atau ‘lengah’ memberi laluan kepada tokoh muda. Saya tidak menafikan bahawa perjuangan ini tidak dilihat serta tidak diukur dengan usia. Berjuang mestilah sampai ke mati dan saya tidak pernah mempersoalkan kedudukan ini.

Namun, apa yang saya bangkitkan ini ialah mengenai posisi kepimpinan. Laluan mesti diberikan secara terancang dan penuh strategik bersulamkan ukhuwwah islamiyyah yang tinggi. Justeru menjadi adab berjamaah secara tradisi, tokoh muda ‘segan silu’ menapak ke hadapan selama mana tokoh veteran masih ‘bertahan’ di posisinya.

‘Laluan sistematik’ perlu diberikan kepada tokoh muda pula beraksi menabur jasa kepada jamaah ini. Inilah langkah terbaik buat jamaah berbanding menerima pakai konsep ‘kepimpinan mesti direbut’ dan tokoh muda mesti bersaing atau bergelut untuk mendapatkannya.

Erti kata lain, tokoh muda mesti menjatuhkan tokoh veteran terlebih dahulu untuk mendapatkan posisi itu. Konsep sebegini agak asing malah negatif bagi jamaah Islam justeru kepimpinan adalah amanah untuk digalas bukan ghanimah untuk diperas. Saya melihat kepada dua aspek:

Pertama: Keperluan semasa yang mendesak

Gandingan Hikmatus Syuyukh wa Hamaasatusy Syabab atau "Kebijaksanaan Veteran dan Semangat Pemuda" perlu menjadi satu gandingan mantap kepimpinan jamaah di era ini. Suatu era yang dilihat penampilan dan dominasi anak muda menguasai ‘pasaran terbuka’.

Bermula dari iklim politik, saingan ekonomi, gentian siber sehingga landskap sosial semuanya dikuasai anak muda. Lantaran itu tanpa syak, sebagai sebuah jamaah islam yang kontemporari sifat pergerakannya mesti menerima realiti ini dan mempraktiskannya dalam penstrukturan organisasi yang membabitkan penyusunan saf kepimpinan dan potfolio serta menampilkan imej segar dan kaya dengan variasi kepimpinan unik sepadan cabaran zaman.

Kedua: Transisi kepimpinan yang terancang

Kepimpinan mesti dirancang tanpa memperkecilkan bakat dan anugerah dimiliki individu yang lahir dari masa ke semasa untuk mengisi kerusi kepimpinan jamaah.

Secara prinsip, kepimpinan mesti dirancang kesinambungannya sekaligus bertujuan memelihara masa depan jamaah supaya pergerakannya terus dipimpin oleh saf kepimpinan berwibawa dan memiliki karisma tahap tertinggi yang dimiliki jamaah.

Jangan biarkan tenaga mampu dan upaya ‘dijeruk’ dalam jamaah tanpa meletakkannya di tempat yang sesuai dan wajar. Sikap mementingkan diri dan agenda sendiri selayaknya dilebur musnahkan, sebaliknya agenda perjuangan Islam mesti didokong dan pendukungnya yang layak dan wajar memimpin jamaah Islam ini.

Saya sengaja tidak menyenaraikan tokoh muda yang dimaksudkan kerana tidak mahu ia disalah erti dan dipolemikkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Semua pihak boleh bersikap positif dan melihat kewujudan tokoh muda berkaliber di kawasan jua negeri masing-masing untuk diberi ruang dan peluang dalam line up kepimpinan jamaah. Jangan tunggu mereka "tua dan luntur tenaga" untuk diberi tempat tanpa menolak bahawa muda yang gelojoh dan tidak matang juga tidak layak membarisi saf kepimpinan jamaah.

Justeru, saya tegaskan di awal artikel ini mengenai ‘laluan strategik’ dan ‘laluan sistematik’, bukan ‘laluan bebas tol’ yang boleh bolos dan lolos tanpa meneliti standard atau piawaian kepimpinan layak untuk memimpin jamaah islam yang bergerak di pentas politik tanahair ini.

Sungguhpun begitu, tokoh muda sewajarnya perform dengan amanah perjuangan. Jangan harap untuk ditatang penuh sebaliknya peragakan keupayaan dan kemampuan dalam batas adab dan akhlak berjamaah. Tempat terhad dan kekosongan terbatas sedang senarai layak agak ramai. Tentu sahaja yang terbaik akan mendapat perhatian dan dipermudahkan urusan untuk ditempatkan pada ketika dan ruang yang sesuai.
 
 
IKLAN
BUNCIT?... MIGRAN??... STRESS??... KENCING MANIS??... GOUT??... BUASIR??... STROKE?? KEMBALI KPD PERUBATAN mengikut al-quran dan hadis... http://drusilastore.blogspot.com