Faktor Pas tidak berganjak - KelateDaily - SuratKoba Pilihe Kito

Latest

STAY WITH US

PLEASE DONATE TODAY. Your generosity preserves knowledge for future generations. Thank you.

TOLONG BERI SUMBANGAN.kemurahan hati anda mengekalkan pengetahuan untuk generasi akan datang.

PLEASE تبرع اليوم. كرمكم يحفظ المعرفة للأجيال القادمة. شكرا لك.

Bank Islam Malaysia Berhad - 08086022170986 - M.Haron

..TQ..

Monday, May 22, 2017

Faktor Pas tidak berganjak

Keghairahan itu PKR terlupa bahawa yang sepatutnya berbuat demikian bukannya Pas tetapi PKR, apatah lagi sebelum ini Pas yang memberi laluan kepada PKR menduduki kerusi menteri besar. - Namun begitu jasa Pas tidak dihargai oleh PKR yang terus bersekongkol dengan DAP. Walaupun memahami mereka memerlukan Pas tetapi PKR melayan Pas dalam keadaan yang tidak sewajarnya.


KEMELUT politik melibatkan Pas dan PKR di Selangor masih belum menemui jalan penyelesaian. Sehingga semalam Pas kekal dengan pendirian untuk mengekalkan tiga exco dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Keputusan Pas memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR menjadi punca PKR merasakan Pas tidak boleh lagi berada dalam kerajaan negeri tersebut.

Bagaimanapun dalam keghairahan itu PKR terlupa bahawa yang sepatutnya berbuat demikian bukannya Pas tetapi PKR, apatah lagi sebelum ini Pas yang memberi laluan kepada PKR menduduki kerusi menteri besar.


Namun begitu jasa Pas tidak dihargai oleh PKR yang terus bersekongkol dengan DAP. Walaupun memahami mereka memerlukan Pas tetapi PKR melayan Pas dalam keadaan yang tidak sewajarnya.

Bukan sahaja di Selangor malah di peringkat pusat pun, pemimpin-pemimpin PKR tidak menghormati Pas, ia termasuklah menentang pembentangan Rang Undang-undang 355 oleh Pas.

Sebenarnya, sejak awal lagi ramai yang meramalkan Pas tidak akan bertahan lama dengan PKR selepas membuat keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP.

Ramalan itu wujud kerana semua orang tahu PKR selama ini hanya memperalatkan Pas untuk mendapat sokongan politik termasuklah berjaya meyakinkan Pas menyerahkan kerusi Menteri Besar Selangor kepada PKR.

Jika berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum 2013, dari segi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Pas lebih banyak iaitu 15 kerusi manakala PKR 14 kerusi. Walaupun Pas kini kekurangan dua kerusi berikutan dua ADUN menyertai PAN, namun hak Pas sebagai parti yang sepatutnya menerajui kerajaan negeri Selangor tidak boleh dinafikan.

PKR bernasib baik, selain kemurahan hati Pas memberi laluan untuk jawatan menteri besar, PKR juga mendapat sokongan daripada DAP. Oleh itu PKR tidak boleh mendabik dada berasa mereka begitu kuat sehingga mahu memaksa Exco Pas meletakkan jawatan.

Kestabilan 


Kalau mahu bercakap soal kestabilan pentadbiran kerajaan negeri, bagaimana dengan situasi ketika Pas memutuskan hubungan dengan DAP? Bukankah ketika itu exco DAP dan Pas masih bersama dalam pentadbiran kerajaan negeri?

Kenapakah apabila Pas memutuskan hubungan dengan PKR, soal kestabilan mahu dibangkitkan? Memang benar dari segi logiknya, exco Pas perlu meletakkan jawatan tetapi dari segi logiknya juga PKR perlu menyerah semula kerusi menteri besar kepada Pas kerana kerusi itu bukan milik mereka.

Kalau PKR berasa mereka kuat, maka ajaklah DAP meninggalkan pentadbiran negeri dan membiarkan sahaja Pas membentuk kerajaan tidak kira dengan parti mana pun.

Tetapi PKR tidak mungkin berbuat demikian kerana DAP tidak akan membenarkannya. Oleh itu tidak perlulah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap soal ‘sabar itu ada batasnya’.

Sebenarnya yang sudah banyak bersabar adalah Pas. Keputusan memutuskan tahaluf siyasi dilakukan bukan dengan sewenang-wenangnya sebaliknya berdasarkan kepada pelbagai pertimbangan politik.

Justeru PKR dengan sokongan padu DAP tidak harus terus memaksa Pas meninggalkan pentadbiran kerajaan negeri. Sebaliknya PKR perlu melihat alternatif lain bagi menamatkan kemelut yang berlaku.

Setakat ini pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa, sama seperti mana ketika Pas tidak lagi berkawan dengan DAP. Ia bukan soal Pas pentingkan kuasa tetapi ini adalah soal hak parti itu.

Pas membuat keputusan yang betul untuk terus bertahan kerana seperti mana kata Timbalan Presiden parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pas mengikut undang-undang tubuh negeri Selangor yang mana exco dilantik oleh Sultan Selangor.

Ketika mengulas isu itu, sumber dalaman Pas memberitahu, parti itu tidak akan tunduk dengan tekanan politik yang cuba dilakukan oleh PKR. Katanya, Pas berada dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor adalah atas kehendak rakyat, oleh itu parti tersebut tidak akan berganjak daripada keputusannya.

“Kita sama-samalah tunggu kesudahannya. Apa yang pasti ini bukan soal siapa akan menang atau kalah tetapi soal untuk memastikan "tidak berlaku sesuatu kepada pentadbiran negeri", katanya ketika dihubungi.

Ditanya apakah maksud "tidak berlaku sesuatu..." tersebut, pemimpin muda berkenaan enggan mengulas sebaliknya menegaskan, selain soal parti, keutamaan Pas juga adalah soal kepentingan orang Melayu dan umat Islam di Selangor.

Walaupun ada andaian bahawa apa yang berlaku di Perak satu ketika dahulu boleh berulang namun setakat ini ia sekadar andaian semata-mata. UMNO pada masa ini dilihat lebih selesa membuat gerakan politiknya sendiri bagi membela nasib rakyat negeri itu.

Kesimpulannya, sukar diramalkan apa kesudahan pertelingkahan politik antara PKR dan Pas itu, apatah lagi ini boleh dikatakan kali pertama berlaku dalam arena politik negara.

Apa yang pasti penulis difahamkan sudah ada gerakan bagi menamatkan konflik tersebut. Apakah gerakan berkenaan? Sama-samalah kita tunggu.



=====================================

SASARAN KELATEDAILY 2017 
- RADIO ONLINE, TVONLINE, 
BANTUAN KEPADA YG MENERIMA, 
PENGURUSAN KELATEDAILY 
- SUMBANGAN DIPERLUKAN - 
BOLEH DISALURKAN MENGUNAKAN 
AKAUN PAYPAL - kelatedaily@gmail.com - 
Akaun Admin - Maybank - 112080586371 (Mahadi)