Pages

Tuesday, May 30, 2017

Yang bodoh bukan Dr Kamarul tetapi…

BANGI, 3 Ramadan 1438H, Isnin – Mereka yang tidak memahami aspek perundangan, pentadbiran dan budaya masyarakat negara ini adalah orang bodoh, bukannya Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff.
Pelbagai alasan dan hujan diberikan, menunjukkan mereka mengamalkan ‘double standard’ dan tidak menerima teguran seorang insan kerdil yang merupakan rakyat marhaen di negara ini, kata Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Kelantan, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah.
Mengulas kontroversi buku Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh, Becoming Hannah yang dikritik Dr Kamarul hingga membuat laporan polis, beliau berkata, jika diteliti secara mendalam, buku itu mengandungi banyak campuran dakyah Kristian dan politik dalam kehidupan Ahli DUN kawasan Subang itu.
“Malah terdapat dakwaan mengatakan agenda Hannah Yeoh secara efektif menggunakan kedudukannya sebagai speaker Dun Selangor untuk menghalang sebarang usul yang dibawa oleh ahli-ahli Dewan yang beragama Islam untuk memperkasakan Islam di Selangor, termasuk usul menambah baik fungsi dan peranan mahkamah syariah.
“Sebagai contoh pada 26 Julai 2016, Adun Permatang Pasir, Datuk Sulaiman Abdul Razak telah menghantar surat memaklumkan akan membawa usul memperkasa institusi mahkamah syariah di negeri itu, tetapi ditolak oleh Hannah Yeoh seperti yang dinyatakan melalui surat balas bertarikh 2 November 2016,” katanya.
Beliau berkata, menurut Dr Kamarul, Hannah Yeoh mengakui pembabitannya dalam politik dibantu gereja baik dari segi dana, kempen dan sebagainya.
“Adakah kenyataan ini menggambarkan terdapat campur tangan dalam urusan hal ehwal agama Islam di Selangor dan membelakangi kedudukan, fungsi serta peranan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Ketua Agama Islam di negeri itu,” katanya menulis dalam Sinar Harian.
Tidak hairan juga kata Dr Iskandar, jika buku ini menjadi kontroversi bukan disebabkan Hannah Yeoh, tetapi konflik kepentingan kedudukannya sebagai Speaker DUN Selangor.
“Tambahan pula, buku ini turut dijual di tempat awam dan terbuka kepada masyarakat Islam serta bertentangan dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa undang-undang negeri dan berkenaan dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan penganut Islam, selaras dengan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam di peringkat negeri.
“Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 3(1) yang menyebut bahawa agama Islam adalah Agama Persekutuan dan diikuti dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang menyebut bahawa agama Islam adalah agama negeri,” katanya.
Beliau berkata, dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Agama menyatakan seseorang itu melakukan kesalahan jika memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang lain yang beragama Islam supaya menjadi penganut atau anggota suatu agama bukan Islam atau supaya cenderung kepada agama itu.
“Maka yang ‘bodoh’ bukanlah Dr Kamarul,” katanya.

=====================================


SASARAN KELATEDAILY 2017 
- RADIO ONLINE, TVONLINE, 
BANTUAN KEPADA YG MENERIMA, 
PENGURUSAN KELATEDAILY 
- SUMBANGAN DIPERLUKAN - 
BOLEH DISALURKAN MENGUNAKAN 
AKAUN PAYPAL - kelatedaily@gmail.com - 
Akaun Admin - Maybank - 112080586371 (Mahadi)