Pages

Sunday, June 4, 2017

Pensyarah UUM hormat kebebasan bersuara, tak saman pengkritik

PETALING JAYA: Pensyarah kontroversi, Kamarul Zaman Yusoff pernah mempertimbangkan untuk menyaman mereka yang cuba mencemarkan nama baiknya, selepas beliau membuat laporan polis terhadap wakil rakyat DAP, Hannah Yeoh.
Tetapi, disebabkan beliau menghormati kebebasan bersuara secara terkawal, pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu memutuskan untuk menangguhkan cadangan itu dan berdepan pengkritiknya.
“Lim Kit Siang kata saya seorang propagandis Umno. Yang lain kata saya seorang yang rasis, ekstrimis. Jika saya mahu menyaman mereka, saya boleh. Rakan peguam saya menasihatkan saya berbuat demikian,” katanya kepada FMT.
Beliau merujuk kenyataan Lim pada Rabu lalu, di mana penasihat DAP itu menggelarnya “propagandis Umno bawahan” yang tidak tahu apa dilakukannya dan sekadar “umpan peluru”.
“Tetapi, disebabkan saya dilatih di Barat, saya banyak dipengaruhi ahli falsafah Barat yang menyokong pertukaran pendapat.
“Sebab itu saya belum mengambil tindakan undang-undang kerana semua orang mempunyai kebebasan bersuara. Dan selagi saya boleh mempertahankan diri, saya akan berbuat demikian.”
Bagaimanapun, katanya, ia tidak bermakna beliau tidak akan mengambil undang-undang.
“Jika mereka melampaui batas, saya akan saman mereka, khasnya jika ia menjejaskan pendapat orang ramai terhadap saya.”
Kamarul menjadi perhatian ramai sejak 17 Mei lalu, apabila beliau membuat laporan polis terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Yeoh.
Dalam laporan polis itu, beliau mendakwa Yeoh cuba menyebarkan agama Kristian menerusi buku biografinya bertajuk “Becoming Hannah: A Personal Journey”.
Kamarul mendakwa buku itu mampu mengubah dirinya sehingga terdorong kepada ajaran Kristian kerana “terlalu banyak kisah dan petikan dari Bible”. Oleh itu, katanya, buku itu hanya boleh dijual di kedai buku yang menjual bahan agama Kristian.
Ada yang melabelkan Kamarul sebagai ekstrimis, manakala yang lain, khasnya daripada DAP dan parti komponen Pakatan Harapan mempersoalkan kredibiliti serta kebolehannya mengajar di sebuah universiti awam.
“Saya bukan seorang yang rasis. Saya belajar di Amerika Syarikat, di mana saya tiada sebarang masalah bergaul dengan orang bukan Islam. Saya juga mempunyai hubungan rapat dengan orang bukan Melayu,” kata Kamarul yang mempertahankan dirinya.
Beliau turut mendakwa pernah bekerja dengan Datuk Zaid Ibrahim pada 2008, ketika beliau menjadi menteri undang-undang. Zaid menyertai DAP pada Februari lalu.
“Kenapa Zaid, seorang yang liberal, melantik saya sebagai pegawai khasnya selama 8 bulan jika saya seorang ekstrimis?” kata Kamarul yang pernah memberitahu FMT bukan beliau yang memulakan perang mulut dengan Yeoh mahupun DAP.
Kamarul berkata, beliau tiada pilihan kecuali mempertahankan dirinya dengan turut membuat laporan polis terhadap Yeoh, selepas adun Subang Jaya itu membuat laporan polis terhadapnya disebabkan analisisnya ke atas buku itu, yang dimuat naik ke Facebook peribadi pensyarah itu.
“Dan dalam artikel pertama itu, saya tidak menekankan sebarang perkara mengenai agenda Kristian. Saya hanya menekankan DAP tidak konsisten mengenai pendirian parti itu terhadap sekularisme.”
Dalam laporan yang difailkan pada 15 Mei lalu, Yeoh mendakwa 16 pihak lain, termasuk Harakah Daily dan Utusan Malaysia, serta beberapa blog turut menyiarkan analisis Kamarul.
Yeoh menuduh Kamarul memfitnahnya dengan mendakwa beliau mencampur adukkan ajaran Kristian dengan politik melalui buku itu.
=====================================


SASARAN KELATEDAILY 2017 
- RADIO ONLINE, TVONLINE, 
BANTUAN KEPADA YG MENERIMA, 
PENGURUSAN KELATEDAILY 
- SUMBANGAN DIPERLUKAN - 
BOLEH DISALURKAN MENGUNAKAN 
AKAUN PAYPAL - kelatedaily@gmail.com - 
Akaun Admin - Maybank - 112080586371 (Mahadi)