Pages

Friday, September 27, 2019

Koroner: Kematian Adib sebab dipukul 2 atau 3 individu tak dikenali

Mahkamah Koroner di Shah Alam yang menjalankan inkues berhubung kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, akan menyampaikan keputusannya hari ini.
NGO Ummah akan menganjurkan perhimpunan aman di kompleks mahkamah dan ahli politik daripada PAS dijangka turut hadir.
Malaysiakini melaporkan secara langsung.
Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung Malaysiakini. Laporan disumbangkan oleh Alyaa Alhadjri, Hariz Mohd, Shakira Buang dan Fadhli Sulaiman. Azneal Ishak selaku jurugambar dan kemas kini media sosial oleh Ewe Linq Yenn.

11.15 pagi - Jalan Persiaran Pegawai: Abang kepada Muhammad Adib Mohd Kassim berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Koroner hari ini yang memutuskan kematian adiknya berpunca daripada perbuatan jenayah.
Menurut Muhammad Asyraf, ibu dan bapanya telah dimaklumkan berhubung keputusan mahkamah hari ini.
"Setakat ini tidak ada saman sivil akan dikemukakan. Kalau ada nak saman siapa? Soalnya.
"Ibu bapa saya akan datang ke Kuala Lumpur malam ini," katanya lagi.
Sementara itu tunang Adib, Nurul Najihah, yang terdahulu dilihat berada di mahkamah, menyiarkan dua kemas kini status di Facebook menyatakan ucapan terima kasih.
Secara berasingan, peguam keluarga mereka, Syazlin Mansor turut menyatakan rasa lega dan memanjatkan kesyukuran atas keputusan itu.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada saksi pakar termasuk profesor patologi forensik dari UKM, Dr Shahrom Abd Wahid yang memberi keterangan bahawa kecederaan Adib tidak konsisten dengan kemalangan.
Sejumlah kecil orang ramai yang berada di luar kompleks mahkamah bersurai tidak lama kemudian.

11:10 pagi - Jalan Persiaran Pegawai: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya berpuas hati dengan keputusan disampaikan mahkamah koroner hari ini.
Kata Zuraida, pihaknya telah berusaha sedaya upaya bagi menegakkan keadilan buat anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
“Saya di pihak KPKT dan juga bomba seluruh Malaysia mengucapkan syukur dengan keputusan hari ini.
“Kami juga puas hati kerana telah menggunakan segala saluran yang boleh kita gunakan termasuk meminta agar inkues diadakan," katanya.

11:00 pagi - Jalan Persiaran Pegawai: Ketua Balai Bomba Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman yang turut hadir bagi mendengar keputusan hari ini dilihat sebak dan menitiskan air mata.
Syed Sharil (gambar atas kanan) merupakan saksi ke-18 inkues berkenaan.
Bagaimanapun Syed Shahril ketika ditemui media enggan mengulas lanjut berhubung keputusan itu.
Turut dilihat bercakap kepada media ialah ketua Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahya.

10.35 pagi - Jalan Persiaran Pegawai: Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam mengetuai orang ramai melaungkan "Undur Zuraida" ketika Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu bercakap kepada pemberita berhubung keputusan inkues kematian Allahyarham Adib.
Lokman juga menuntut Zuraida meletak jawatan.
Orang ramai yang hadir turut melaungkan "Tangkap Pembunuh!".

10.30 pagi - Mahkamah Koroner: Suasana gembira dan terharu menyelubungi ruang mahkamah apabila koroner Rofiah Mohamad menyampaikan keputusannya bahawa kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim adalah akibat daripada perbuatan jenayah.
Seseorang dari galeri awam di mahkamah juga didengar berkata "Yes Alhamdulillah" sebaik sahaja keputusan mahkamah diumumkan.
Beberapa individu yang lain, termasuk peguam yang mewakili keluarga mangsa, juga dilihat berpelukan antara satu sama lain.

10.25 pagi - Mahkamah Koroner:  Koroner Rofiah Mohamad berkata, mahkamah kini menyerahkan kepada polis dan peguam negara untuk menjalankan siasatan dan untuk melakukan pendakwaan.

10:20 pagi- Jalan Persiaran Pegawai: Anggota parlimen Pasir Mas Fadhli Shaari mengulangi gesaan agar Peguam Negara Tommy Thomas dipecat'berikutan keputusan inkues bahawa kematian Adib adalah akibat daripada perbuatan jenayah.
Beliau juga menyeru tuduhan jenayah dikenakan terhadap individu yang didakwa bertanggungjawab atas kematian Adib.
Timbalan Ketua Pemuda PAS itu turut mengucapkan terima kasih berhubung keputusan itu.
Sementara itu abang dan tunang arwah Adib dijangka akan bertemu pemberita dalam waktu terdekat.

10.12 pagi- Mahkamah Koroner: Mahkamah memutuskan kematian ahli bomba Muhammad Adib Mohd Kassim bukan perbuatan sendiri tetapi akibat daripada perbuatan jenayah serta kegagalan polis untuk bertindak pantas pada masa kejadian.
Ketika menyampaikan keputusannya, Koroner Rofiah Mohamad  berkata mahkamah membuat kesimpulan dua hingga tiga indvidu tidak dikenali telah mengheret mangsa keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) jabatan bomba, menarik dan menghentak arwah.
"Saya juga membuat dapatan kematian arwah disebabkan kegagalan PDRM dan FRU kawal rusuhan.
"Keterangan jelas menunjukkan telah berlaku beberapa kebakaran sebelum arwah terlibat. Anggota bomba juga telah diancam perusuh yang tak mahu kebakaran dipadam.
"Ada polis berkawal dan api berjaya dipadam bomba. Adalah amat malang bila dua troop FRU dengan ratusan anggota dengan tujuh kenderaan pelbagai jenis, water cannon, gas tank dan sebagainya, tetapi hanya melihat perusuh-perusuh melakukan khianat pada bomba dan tak melakukan apa-apa.
"(Mereka) hanya siap siaga dengan senjata mereka, semata-mata kerana tak diberi arahan walaupun keadaan meruncing," jelasnya.

Kesatuan Pekerja Bomba harap keputusan berpihak pada arwah Adib
9.55 pagi: Jalan Persiaran Pegawai : Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia tidak melepaskan peluang untuk mendengar keputusan mahkamah koroner.
Presidennya, Zainal Abidin Nong Chik yang ditemui di luar perkarangan mahkamah berharap keputusan berpihak kepada arwah Adib.
“Kami bukan mahu berhimpun, tetapi beri sokongan buat (arwah) Adib dan seluruh warga Bomba dan penyelamat Malaysia di atas tanggungjawab sebagai pasukan penyelamat.
“Saya harap apa juga keputusan yang kita akan terima, berpihak pada kita. Dan saya amat berharap keluarga Adib terus tabah hadapi dugaan ini,” katanya kepada pemberita.

9.40 pagi- mahkamah koroner: Koroner Rofiah Mohamad memasuki mahkamah.
DPP yang menjalankan inkues, Faten Hadni memperkenalkan peguam-peguam yang mewakili pihak-pihak dalam prosiding inkues itu.

9.30 pagi: Mahkamah Koroner: Mahkamah mula bersidang.

9.25 pagi - Jalan Persiaran Pegawai: Sekumpulan kira-kira 10 orang yang mewakili Gagasan Rakyat Malaysia 7 (Geras 7) menggesa agar Peguam Negara Tommy Thomas meletakkan jawatan.
Presiden Geras 7, Abu Bakar Mohamed (gambar) membuat gesaan itu berikutan kegagalan Thomas untuk memberikan keadilan terhadap kematian arwah Adib.
“Kita dah ada pakar bedah siasat, kita dah ada pakar forensik. Jadi, inkues ini untuk apa? Tidak ada tujuan pun," katanya yang juga bekas ketua polis daerah Bukit Raja, Klang Utara.
“Jadi, walau apa pun yang berlaku hari ini kita desak Tommy Thomas letak jawatan, kita juga desak kerajaan dan pembangkang jangan main sentimen agama dan perkauman.
“Sebab kita tak nak negara kita jadi huru-hara, kita tak nak negara kita jadi macam Syria yang menjadi barua kepada kuasa besar Barat,” katanya yang menyifatkan inkues itu untuk melengahkan keadilan terhadap arwah Adib.

9.25 pagi - Mahkamah Koroner: Seorang pegawai mahkamah memberitahu anggota media bahawa pengarah Kompleks Mahkamah Shah Alam telah mengeluarkan perintah bahawa tiada sidang akhbar boleh dijalankan di kawasan itu hari ini.
Pegawai itu mengatakan arahan tersebut dikeluarkan atas sebab keselamatan dan meminta pihak media memberikan kerjasama.

8.55 pagi- Mahkamah Koroner: Galeri awam dipenuhi keluarga Adib, pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat dan kakitangan media.
Peguam yang mewakili keluarga Adib, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan DPP yang menjalankan inkues juga telah tiba dan bersedia menunggu keputusan inkues hari ini.
Kawalan keselamatan juga diperketatkan di mahkamah di mana pihak polis menyediakan dua kaunter bagi pemeriksaan keselamatan.
Pasukan polis juga dilihat mengawasi pintu masuk utama kompleks mahkamah, sementara anggota polis berpakaian preman diletakkan di sekitar kawasan itu.

Keadaan kelihatan tenang
8.50 pagi - Kompleks Mahkamah Shah Alam: Keadaan tenang ketika media menanti ketibaan ahli keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Polis dan anggota dari pasukan Light Strike Force bersiap sedia di luar pagar mahkamah.
Kelihatan memasuki lobi mahkamah adalah pegawai dan rakan-rakan Adib dari Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Turut kelihatan aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Yusof Azmi yang berkata dia hadir untuk memerhatikan prosiding hari ini.
Di luar kompleks mahkamah sepanduk digantung menggesa keadilan untuk arwah Adib dan juga menuntut peletakan jawatan peguam negara, Tommy Thomas.

30 saksi dipanggil sepanjang inkues 41 hari 
Mahkamah Koroner di Shah Alam menutup prosiding inkues kematian Adib pada 24 Julai lalu selepas 30 saksi dipanggil sepanjang 41 hari pendengaran.
Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Dis 2018, selepas mengalami kecederaan semasa rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya kira-kira sebulan sebelum itu.
Inkues itu diadakan selepas dua versi bercanggah mengenai sebab kematiannya.
Satu versi mendakwa Adib dilanggar oleh kenderaan, manakala satu lagi versi mendakwa allahyarham dipukul oleh perusuh.
Semasa inkues dijalankan, mahkamah mendengar keterangan daripada pakar sama ada kecederaan Adib disebabkan dipukul, atau akibat dilanggar kenderaan.
Pakar-pakar juga memberi pendapat berbeza sama ada Adib mungkin cedera akibat dilanggar oleh van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Selain pakar, mahkamah turut mendengar keterangan daripada saksi di tempat kejadian.
Walaupun inkues ini ditubuhkan untuk menentukan punca kematian dan mereka yang terlibat dalam kejadian itu, majistret yang bertanggungjawab tidak boleh membuat penemuan sama ada sesiapa bertanggungjawab melakukan jenayah berhubung kematian itu.
Jabatan Peguam Negara akan membuat keputusan berdasarkan penemuan mahkamah koroner.

KelateDaily - Sejak 2004 Lagi
=====================================
Bayaran Kepada Penulis Jemputan,
Sumbangan Kepada Yang Memerlukan,
Pengurusan

Sumbangan ikhlas untuk dakwah KelateDaily:
Trasfer Ke Bank : QM Rich
08086010034971 (Bank Islam)
AKAUN PAYPAL - kelatedaily@gmail.com