Pages

Sunday, April 27, 2008

Apa dia hak istimewa orang Melayu ?

Dua belas tahun yang lalu semasa pulang bercuti Semester I Tahun Empat, saya ada singgah untuk minum di sebuah Kedai Kopi sebuah kampung di Perak. Semasa singgah saya lihat ada seorang Pak Cik sedang marah-marah sambil menepuk meja sehingga menggerunkan orang kampung yang sedang minum di Kedai Kopi itu. Mungkin Pak Cik ni orang yang dihormati di kampung itu, mungkin juga Ketua Kampung.

Pak Cik itu sedang marah kepada PAS yang bekerjasama dengan DAP untuk menghadapi pilihanraya umum ke 10. Antara yang saya dengar katanya, "PAS ni tak guna dok kawan dengan DAP parti Cina komunis", "Depa ni tak dak kerja nak hapus hak istimewa orang Melayu" Semua orang dalam Kedai Kopi tu diam, tak kata apa. Hanya dengar saja Pak Cik tu bercakap hentam PAS dan DAP. Saya yang dengar rasa nak marah juga, tetapi sabar dan fikir macam mana nak buat dengan Pak Cik ni. Akhirnya saya ambil cawan kopi yang baru dihantar oleh tuan kedai duduk di meja Pak Cik tadi. Saya bersalam dengan dia dan orang kampung yang sama duduk di meja tu.

Saya menggunakan suara lembut tanda hormat pada orang tua bertanya kepada Pak Cik tadi. " Tadi saya dengar Pak Cik cakap fasal hak istimewa orang Melayu, Pak Cik tahu ka apa dia hak istimewa orang Melayu ?. Pak Cik tadi tergamam dengan soalan saya, mungkin dia tak tahu jawapannya, tetapi dia cuba jawab, " ha hak istimewa orang Melayu la". Saya tanya lagi " ya la hak istimewa orang Melayu,tapi apa dia ?. Lepas tu dia diam, mungkin dok fikir nak cari jawapan. Orang kampung lain dalam kedai kopi tu bertumpu kepada kami.

Oleh kerana lambat beri jawapan, saya kata kepada Pak Cik tu, " Askar Melayu , Keretapi Tanah Melayu ka?". Pak Cik cepat-cepat sambut, " ha ya la tu, yang tu saya nak cakap tadi ". Saya pun beritahu yang jawapan dia salah. Saya bagi tahu saya belajar di Universiti dan saya belajar tentang hak istimewa orang Melayu. Saya pun terang kepada orang kampung dalam kedai itu beberapa perkara berkaitan hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.

Pak Cik tadi tersipu-sipu tetapi tak dapat terima penjelasan saya tentang hak istimewa orang Melayu. Katanya, " tak dengar pun kat tv apa yang hang cakap, Perdana Menteri pun tak cerita macam hang cerita, di universiti tu lain tu." Saya senyum saja dan minta diri, bersalam dengan mereka. Saya puas sebab dapat beri kefahaman kepada orang kampung di kedai tu, apa dia hak istimewa orang Melayu?. Pak Cik tadi yang tak dapat terima, biarlah kat dia kerana saya tahu dia mesti orang kuat umno.

Kesimpulan dari pengalaman saya ini dapat menjelaskan tentang kefahaman orang umno berkaitan hak istimewa orang Melayu. Apabila orang umno berdemontrasi di hadapan Komtar menentang Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang membuat kenyataan mahu menghapuskan DEB. Saya dapat katakan bahawa orang umno yang pergi berdemontrasi itu kalau ditanya tentang hak istimewa orang Melayu dan DEB. Mereka pasti tak tahu jawapannya, mereka sebenarnya diperbodohkan oleh pemimpin umno Pulau Pinang yang hilang kuasa.

Sebaliknya, kalau ditanya kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tentang tentang hak istimewa orang Melayu dan DEB, saya yakin beliau akan memberi jawapan yang tepat tentang hak istimewa orang Melayu dan DEB. Beliau sudah membuat kajian tentang perkara ini sebelum membuat kenyataan.

Sebab itulah apabila didapati berlaku isu penyelewengan tanah bernilai jutaan ringgit oleh pemimpin umno semasa mereka memerintah. Sampai hari ini bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Dato’ Rashid bin Abdullah tidak berani bersemuka dengan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng walaupun dipelawa beberapa kali.

Orang-orang Melayu terutamanya umno sebenarnya ditipu oleh pemimpin mereka yang kononnya memperjuangkan hak istimewa orang Melayu. Oleh kerana tak tahu bahawa sebenarnya pemimpin umnolah yang mengurangkan hak istimewa orang Melayu, maka keputusan pilihanraya ke 12 menunjukkan umno masih menang di kerusi majoriti Melayu.

Justeru, sebagai tanda sayang kepada orang Melayu dalam umno supaya tidak menjadi mangsa penipuan pemimpin umno sampai mati. Saya mencadangkan PAS dan PKR memberi penerangan kepada orang Melayu tentang hak istimewa orang Melayu kepada semua orang Melayu termasuk orang PAS dan PKR. Jangan harapkan umno nak bagi penerangan tentang hak istimewa orang Melayu kepada orang umno, kerana mereka tahu kalau orang umno tahu apa dia hak istimewa orang Melayu. Orang umno sendiri akan keluar dari umno yang selama ini menipu mereka.

Malulah kita orang Melayu yang ada hak istimewa tetapi tak tahu apa dia hak istimewa tu. Saya yakin Pakatan Rakyat dapat menembusi kubu-kubu umno, sekiranya orang Melayu umno tahu bahawa selama ini yang menyelewengkan hak-hak orang Melayu adalah pemimpin umno. Masa akan semakin dekat, orang umno semakin kuat umnonya, apabila ditiup semangat perkauman oleh pemimpin mereka.

Orang Cina dan India mungkin kekal menyokong Pakatan Rakyat kerana tembelang perkauman umno sudah pecah selepas kalah pilihanraya. Kita tidak boleh membiarkan orang Melayu hanyut dengan sentimen perkauman umno. Tindakan untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada orang Melayu perlu dimulakan mulai sekarang. Sokongan orang Melayu juga penting bagi mengukuhkan Pakatan Rakyat.