Pages

Sunday, April 27, 2008

Sikap pemimpin tentukan orang bawah rasuah atau tidak - Mustafa

Pemimpin politik perlu menjadi contoh teladan (role model) kepada rakyat, masyarakat dan penyokong dalam mewujudkan persekitaran kepimpinan yang lebih telus Demikian dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Hj Mustafa Ali, kepada media sebagaimana laporan akhbar Sinar hari ini.
Beliau berkata ramai pemimpin politik masih tidak mengamalkan sikap integriti sehingga ia mempengaruhi orang bawahannya untuk mengikut contoh yang tidak baik.

“Sebab itulah berlakunya rasuah dan penyelewengan di peringkat bawahan kerana pemimpin di peringkat atasan tidak mengamalkan sikap yang benar-benar telus dalam tindakannya.

“Sesetengah parti politik pula mendidik anggotanya dengan kebendaan sehinggakan kegiatan tidak bermoral diamalkan secara berleluasa,” kata beliau

Mustafa yang merupakan anggota Institut Integriti Malaysia (IIM) bersetuju dengan pendirian IIM untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi melahirkan pemimpin berintegriti sebagaimana kenyataan Presiden IIM, Dr Mohd Tap Salleh.

Merujuk kepada cadangan mewajibkan pemimpin politik menyertai program integriti, Mustafa berpendapat, perlaksanaan program berkenaan perlu namun beliau percaya seseorang pemimpin berintegriti atau tidak, adalah bergantung pada sikap pemimpin berkenaan.

“Walaupun ada program sedemikian tetapi sekiranya pemimpin tidak mahu berubah, hasrat tersebut tetap tidak akan tercapai dan bagi PAS negeri, kita sentiasa menekankan mengenai integriti dalam program yang dianjurkan,” kata beliau

Sementara itu, PAS negeri Terengganu menyokong cadangan menjadikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai badan bebas.

Beliau berbangga dengan pemimpin PAS Terengganu kerana tidak terlibat dalam amalan rasuah dan sambil memuji tindakan kerajaan PAS Kelantan yang lebih terbuka menyelesaikan kes rasuah.