Pages

Sunday, April 27, 2008

Batu Pahat: Peralihan kuasa sebelum Dis

B.P: Mesyuarat khas perwakilan Umno Batu Pahat mendesak pelan peralihan kuasa antara presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Razak dilaksanakan sebelum Disember ini.

Di samping itu, bahagian itu juga mendesak kepimpinan Umno mengkaji secara terperinci punca kemarahan rakyat terhadap parti itu dan bertindak segera mengatasinya, seperti tuduhan wujudnya penglibatan "keluarga" dalam urusan pentadbiran negara.

Di samping itu, ia juga mendesak Majlis Tertinggi (MT) Umno supaya menyediakan "pelan pemulihan parti" dengan segera untuk menarik sokongan rakyat kepada Umno berikutan prestasi terburuknya pada pilihanraya umum baru-baru ini.

Cadangan itu antara lima usul yang diluluskan dalam mesyuarat khas bahagian itu, lapor Bernama.

Ketua bahagian Umno Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi berkata usul-usul itu diluluskan sebulat suara oleh 365 perwakilan yang menghadiri mesyuarat itu hari ini.

Katanya terdapat dua soalan yang perlu ditanya selepas pilihanraya umum baru-baru ini iaitu, apakah tindakan drastik untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno dan mengapa rakyat begitu marah kepada Umno.

Pikat semula sokongan

Mohd Puad yang juga ketua Penerangan Umno Johor berkata Umno memerlukan formula baru untuk memikat semula sokongan rakyat bukan sahaja orang Melayu dan bukan Melayu, tetapi juga generasi muda yang semakin kritis terhadap Umno.

Katanya Umno tidak lagi boleh berlengah dan perlu bertindak segera kerana ia mempunyai masa yang singkat untuk menghadapi cabaran empat tahun yang mendatang.

Beliau berkata ahli Umno tidak memerlukan pelbagai alasan dan penjelasan yang tidak menjawab soalan yang sebenarnya iaitu mengapa sokongan terhadap parti itu merosot dengan begitu teruk pada pilihanraya umum 8 Mac.

"Apakah isu sabotaj, isu wang peruntukan pilihanraya dan lain-lain menjawab soalan sebenar tentang mengapa rakyat begitu marah terhadap Umno," kata Mohd Puad.

Selain itu, katanya, Umno bahagian turut meluluskan usul mendesak MT Umno supaya menggunakan bidang kuasanya seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti untuk memanggil segera perhimpunan agung khas Umno.

Katanya, mereka turut meluluskan usul meminta kepimpinan parti supaya mengisi dan melaksanakan perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak bertolak-ansur terutamanya berhubung agama Islam dan hak-hak orang Melayu.

Mohd Puad berkata beliau akan menyerahkan keputusan yang dicapai oleh Umno bahagian pada mesyuarat perwakilan khasnya kepada Abdullah di Dewan Rakyat minggu depan.