Pages

Sunday, April 27, 2008

Kelab Penyokong PAS India Kedah serah 160 borang keahlian

Kulim, 27 April (Hrkh) - Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Ustaz Haji Hassan Abdul Razak menerima 160 borang ahli Kelab Penyokong PAS Kaum India sempena ceramah perdana yang diadakan di Taman Kenari, Kulim baru-baru ini.

Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum India bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kulim, Vickram a/l Jayaraman mewakili rakan-rakan ahli Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), dan Makkal Shakti menyerahkan borang berkenaan.

"Kami ingin bersama-sama kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Ustaz Azizan Abdul Razak menyokong dan mendukung aspirasi kerajaan Pakatan Rakyat," ujar beliau ketika ditemu bual oleh wakil Harakah.

Turut hadir memberi ceramah pada malam itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Perak, Ustaz Drs Khalili Idham Lim Abdullah dan Pengerusi Hindraf Kulim, Sathia Seelan .

Majlis yang berjaya mengumpulkan para penyokong PAS, KeADILan, Hindraf dan Makkal Shakti itu merupakan satu sejarah selepas terciptanya kemenangan besar Pakatan Rakyat yang berjaya memerintah Kedah selepas memenangi Pilihan raya Umum Ke-12 yang lalu.

Ketua PAS Cawangan Taman Kenari, Sulaiman Ibrahim berkata, gerak kerja pilihan raya sudah selesai, tapi gerak kerja untuk merealisasikan manifesto yang dijanjikan perlu diteruskan.