Pages

Tuesday, April 22, 2008

"Kami akan kerja untuk rakyat" - Ahli majlis MPPP

PULAU PINANG, 22 April (Hrkh) - "Kami akan bekerja untuk semua rakyat tanpa mengira apa jua latar belakang politik, " itulah luahan Ketua Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang, Haji Halim Saleh sejurus ditemui selepas majlis angkat sumpah Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) semalam.

Katanya, soal ketidakpuasan hati kerana hanya dua orang wakil PAS dilantik sebagai Ahli Majlis iaitu seorang MPPP dan satu lagi MPSP tidak timbul sebaliknya gerakerja yang bakal ditonjolkan nanti yang perlu diutamakan.

"PAS bersedia memberikan perkhidmatan terbaik melalui Ahli Majlis dan apa-apa masalah boleh membertahu kami untuk dibawa ke pengetahuan semua ketika mesyuarat kelak, " katanya.

Justeru itu katanya, bagi memastikan Pakatan Rakyat terus memegang tampuk pemerintahan semua jentera PAS perlu meneruskan kerja jangan hanya melaksanakan tanggungjawab ketika kempen pilihan raya sahaja.

Sikap sedemikian baginya, tidak bijak kerana boleh merencatkan kebangkitan PAS sekaligus memberi kesan pada pilihan raya umum akan datang.

Hari ini, Setiausaha PAS Negeri, Fadzil Kemi selamat mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis bersama 23 orang wakil dari DAP, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pegawai Daerah dan Parti Keadilan Rakyat (KeAdiLan) di Dewan Kenanga, MPSP pagi tadi.

Turut hadir menyaksikan angkat sumpah Ahli Majlis MPSP ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Timbalannya,Dr P Ramasamy; Yang DiPertua MPSP, Farizan Darus dan beberapa orang Exco Kerajaan Negeri. - mks.