Pages

Monday, April 28, 2008

Kem ISA wajar dipindahkan dari Perak

Subky Abdul Latif [Mon | Apr 28, 08 | 8:02:49 pm MYT ]

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Nizar Jamaluddin ketika mengadakan kunjungan rasmi kepada Perdana Menteri membangkitkan tapak khemah tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Kamunting, sedang parti yang memerintah Negeri Perak sekarang adalah menentang ISA.

Tidak pasti apa perincinya yang mereka bincang, tetapi yang jelas ketiga parti yang membentuk kerajaan campuran di Perak iaitu PAS, DAP dan KeADILan adalah menentang ISA dan mahu ISA dimansuhkan.

Kerajaan Perak tiada kuasa untuk memansuhkan ISA kerana ia adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Pusat. Tetapi tentulah kerajaan Perak merasa tidak senang sesuatu yang dibenci dan dikutuknya berkhemah dalam wilayahnya.

Maka secara terhormat adalah munasabah kalau Perak minta Kerajaan Persekutuan memindahkan khemah tahanan ISA itu dari Kamunting ke negeri yang lain.

Adalah dipercayai empat lagi negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor tidak sedia menimbangkan wilayah mereka untuk dijadikan tapak baru khemah undang-undang yang mereka sifatkan zalim itu.

Setakat ini Pahang dan Johor yang masih dikira kubu kuat BN yang tidak lagi tergugat tentu bersedia memberikan tanahnya untuk akta yang terkutuk itu. Kedua-dua negeri itu masih punya banyak kawasan yang belum diteroka, maka boleh dijadikan tapak khemah ISA yang baru.

Bukan suatu yang mudah bagi kerajaan Perak untuk mengusirkan khemah itu keluar dari Kamunting. Tentu ada perjanjian antara kedua kerajaan tentang tanah yang dijadikan khemah tahanan itu. Apa jua yang hendak dilakukan atas perkara itu terpaksa merujuk kepada persetujuan pemberian kawasan itu dulu.

Dulu tiada kerajaan yang menentang ISA. Tetapi sekarang mulai banyak kerajaan negeri yang menentang ISA. Kesemua parti pembangkang yang menguasai lima buah negeri sepanjang masa menjadikan ISA sebagai agenda yang perlu dimansuhkan.

Janji itu dibuat dalam setiap pilihan raya, baik pilihan raya umum mahu pun pilihan raya kecil. Ia adalah janji yang ditawarkan oleh mereka kepada rakyat.

Dalam pilihan raya pada 8 Mac lalu, majoriti pengundi di lima negeri itu mengundi mereka. Antara yang mereka setuju itu adalah untuk memansuhkan ISA.

Yang masih berdegil untuk mengekalkan ISA ialah BN. Maka secara sukarela wajarlah Kerajaan Pusat menimbangkan untuk keluar dari Kamunting jika diminta oleh kerajaan negeri itu.

Kawasan yang dijadikan khemah tahanan itu agak luas. Dalam rangka pelaksanaan program pembangunan koridor utara yang sudah dilancarkan itu, ia adalah sesuai untuk dibangunkan bagi satu-satu projek yang menjana kemajuan negeri Perak.

Mungkin ia boleh dijadikan kampus pengajian tinggi yang baru. Perak yang ramai penduduknya tentu memerlukan sebuah universiti. Jika nama ISA itu hendak dikekalkan tiada masalah, asal jangan untuk menahan rakyat tanpa bicara.

Jika kerajaan Perak hendak menjadikannya tapak kampus yang memakai nama ISA, maka boleh dinamakan Institut Sains Awam singkatnya ISA atau Institut Sultan Azlan juga singkatnya ISA.

Apa isi kampus itu boleh ditentukan oleh penduduk Perak, tetapi yang penting nama ISA boleh dipakai untuk tujuan yang baik, bukan untuk menindas seperti yang digunakan oleh BN selama lebilh 50 tahun lalu.

Adalah jauh lebih bermakna bagi ISA sama ada Institut Sains Awam atau Institut Sultan Azlan dijadikan tapak bagi membina modal insan yang seramai-ramainya yang diperlukan oleh masyarakat dan negara ssekarang, bukan dijadikan kawasan membunuh jiwa insan seperti yang berlaku selama ini.

Dato' Seri Nizar membangkitkan isu itu untuk difikirkan oleh Perdana Menteri bagaimana suatu yang tidak disukai oleh kerajaan Perak sekarang dibiarkan terus berada di dalam wilayahnya.

Tentunya kerajaan Perak tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai suatu yang boleh menghalang kerjasama dan hubungan baik antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Belum pada peringkat ini kerajaan Perak hendak memberi kata dua kepada Kerajaan Pusat, tetapi yang diperlukan ialah bagaimana kerajaan menggunakan kebijaksanaannya menghormati keputusan pengundi di negeri itu.

Tentulah Menteri Besar Perak itu tidak bertujuan untuk menambah beban dan tekanan yang sedang dihadapi oleh Perdana Menteri gara-gara prestasi menjunamnya dalam pilihan raya lalu.

Perdana Menteri perlu dibantu oleh Menteri Dalam Negeri yang baru, Dato Syed Hamid Albar menimbang secara berhemat dan tidak menegangkan isu itu hingga menggawatkan lagi beban yang dihadapi Umno sekarang.

Kerajaan Persekutuan tidak wajar menganggap keputusan pengundi Perak itu sebagai satu perkembangan sementara. Ia jangan menjadikan perkembangan di Terengganu dulu akan berlaku pula di negeri-negeri yang ia kalah sekarang.

Dulu BN dilihat elok dan Perdana Menterinya juga dilihat elok. Tetapi sekarang Umno sendiri pun mula melihat semuanya sudah tidak elok. Maka adalah baik bagi Kerajaan Pusat mencari kawasan khemah baru di negeri yang ia tidak dilihat hodoh.

Jangan gunakan kuasa bagi menyelesaikan isu yang sangat ringan ini. Ia mesti berfikir bukan lagi mudah untuk mendapatkan kembali kuasa yang sudah terlucut. Yang terjadi di Terengganu itu adalah satu nasib baik. Tetapi nasib baik tidak semesti berlaku di semua tempat.

Perak tidak berkuasa untuk memansuhkan ISA dengan kuasa yang ada padanya, tetapi ia tidak mahu Kamunting terus menyakitkan mata kerajaan negeri.- tajdid