Pages

Monday, April 28, 2008

Umno Terengganu fail tiga lagi petisyen pilihan raya

KUALA TERENGGANU: Badan Perhubungan Umno Terengganu memfailkan tiga petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, berhubung salah laku penyokong dan pemimpin PAS pada Pilihan Raya Umum ke12, 8 Mac lepas.

Setiausahanya, Datuk Rosol Wahid berkata petisyen itu, yang difailkan melalui firma guaman Ahmad Shahbudin & Co kirakira 2.30 petang, membabitkan kawasan Parlimen Marang serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan DUN Manir.

Dalam petisyen itu, beliau berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dinamakan sebagai responden (sebagai wakil rakyat) bagi kerusi Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang manakala Datuk Harun Taib (Adun) bagi kawasan DUN Manir.

"Umno mempunyai asas kukuh serta saksi yang sanggup tampil membuktikan apa yang dilakukan itu melanggar dan bercanggah dengan undang-undang kerana menghalang hak rakyat untuk keluar mengundi dalam negara demokrasi ini," katanya kepada pemberita di pejabat Umno negeri di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu memfailkan petisyen di mahkamah yang sama pagi ini, memohon supaya sebanyak 1,089 undi pos dikeluarkan sebagai undi yang dikira bagi keputusan kerusi Parlimen Kuala Terengganu semasa pilihan raya umum lepas.

Mohamad Sabu yang tidak hadir di mahkamah, memfailkan petisyen itu melalui peguam Mohd Kamaruzaman Abdul Wahab daripada firma guaman Aziz & Co dan diserahkan kepada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nurul Huda Akmal Mohamed kira-kira 11.30 pagi.

Pada pilihan raya umum lepas di Parlimen Kuala Terengganu yang membabitkan pertandingan tiga penjuru, Mohamad Sabu tewas dengan majoriti 628 undi.

Beliau memperoleh 31,934 undi manakala Datuk Razali Ismail dari BN memperoleh 32,562 undi dan calon Bebas, Maimun Yusof mendapat 685 undi.

Semalam Umno Terengganu memfailkan petisyen di mahkamah yang sama, memohon pemeriksaan rapi dan pengiraan semula dibuat ke atas 127 undi pos bagi kerusi DUN Ladang yang ditolak oleh Suruhanjaya Pilihanraya pada hari pengundian. BERNAMA