Pages

Monday, April 28, 2008

Lantik Senator dari Kelab Penyokong PAS

MELAKA, 28 Apr (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab mencadangkan Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kelantan atau Kedah yang diterajui PAS memilih Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat, Hu Pang Chow sebagai calon Senator.

Selain itu, kerajaan Pakatan Rakyat di kedua-dua negeri itu juga disarankan supaya memilih seorang lagi wakil dari Kelab Penyokong PAS India untuk jawatan sama, tambah beliau.

"Perkara ini penting bagi membuktikan bahawa PAS adalah sebuah parti yang mementingkan semua kaum tanpa mengira agama dan bangsa.

"Kini sudah sampai masanya PAS melantik wakil-wakil kaum bukan Melayu di Dewan Negara setelah golongan ini dilantik sebagai ahli PBT, Penghulu dan lain-lain di Kelantan," tambah beliau.

PAS katanya, mesti meneruskan agenda memberikan kebajikan merentasi agama, budaya dan kaum kerana dalam konteks Malaysia, parti-parti perkauman sudah tidak relevan lagi sehingga sebahagian besar calon-calon parti perkauman seperti MCA, MIC, Umno dan Gerakan ditolak rakyat di Semenanjung Malaysia.

"Kini orang Tionghua dan India tidak takut lagi mengundi PAS dan KeADILan manakala orang Melayu sudah tidak segan lagi mengundi DAP," tegas beliau.

Ketika ditanya siapakah di kalangan kaum India yang layak dilantik sebagai senator, Sofi menjawab Kumutha, bekas Calon Kelab Penyokong PAS pada PRU 12 adalah antara calon yang layak untuk dipertimbangkan.

Sejak akhir-akhir ini Kelab Penyokong PAS seluruh negara terus mendapat sambutan yang menggalakkan dan terkini Kelab Penyokong PAS telah berjaya ditubuhkan di Negeri Melaka malah di negeri-negeri lain Kelab Penyokong PAS Cina dan India telah ditubuhkan sampai ke peringkat Kawasan Parlimen. - mns