Pages

Sunday, April 27, 2008

Pemilihan Parti Gerakan Diadakan Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Parti Gerakan memutuskan untuk mengadakan pemilihan parti itu tahun ini.

Pemangku presiden parti Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini berkata Jawatankuasa Pusat, badan pembuat keputusan parti paling tinggi, pada mesyuaratnya hari ini memutuskan bahawa pemilihan parti di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan nasional diadakan tahun ini dan bukannya tahun hadapan berikutan maklum balas daripada akar umbi.

"Apabila kami memutuskan sebelum ini iaitu pada Januari (tahun ini) untuk menangguhkan pemilihan ke tahun hadapan, ia adalah kerana kami tidak pasti bila pilihan raya umum akan diadakan, Memandangkan ia (pilihan raya umum) telah lepas dan dengan majoriti akar umbi mahu pemilihan parti diadakan tahun ini, kami memutuskan untuk mengadakannya tahun ini.

"Maklumat terperinci, seperti tarikh dan prosedur, akan diumum Jawatankuasa Penyeliaan Pemilihan Nasional selepas mereka bermesyuarat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat di Menara PGRM di sini.

Setiausaha Agung Gerakan Datuk Seri Chia Kwang Chye, yang mempengerusikan Jawatankuasa Penyeliaan Pemilihan Nasional, dijadual mengumumkan jadual pemilihan parti pada Selasa.

-- LAGI