Lapan orang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diseludup polis secara rahsia ke Pusat Tahanan Reman (PRC) di sekitar ibukota Kuala Lumpur tanpa motif jelas, seraya mencetuskan kebimbangan keatas nyawa tahanan terbabit.
Kesemua lapan tahanan itu dibawa secara senyap dan dikurung selama seminggu bermula 19 April hingga 27 April, dan pemindahan mereka dari Kem Tahanan (Kemta) Kamunting itu tidak dimaklumkan kepada ahli keluarga tahanan, menurut kenyataan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) 24 April lalu.
Maklumat penyeluduhan itu diperolehi dari peguam para tahanan. Menurut sumber GMI, tiada sebarang tunjuk sebab diberikan pihak berkuasa berhubung pemindahan itu, seraya mencetuskan keraguan diatas kerahsiaan tersebut.
“Menurut sumber berkenaan, tahanan-tahanan berkemungkinan dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di Kuala Lumpur,” menurut Setiausaha GMI, E Nalini dan menambah tahanan-tahanan tersebut telah ditahan dibawah ISA selama hampir atau lebih dari enam tahun.
“GMI bimbang tahanan-tahanan ini didera secara mental dan fizikal semasa di PRC. Keluarga dan tahanan tidak diberitahu bila dan tempat penahanan manakala tahanan pula tidak mempunyai sebarang akses kepada keluarga mahupun peguam,” tegas Nalini.
Sebelum ini, Suara Keadilan isu 133 melaporkan GMI melancarkan kempen “Cukuplah 6 Tahun Kezaliman” dalam usaha membebaskan semua tahanan-tahanan ISA, khususnya tahanan yang melebihi 6 tahun pemenjaraan.
Kesemua tahanan ‘veteran’ itu dikaitkan dengan gerakan Jemaah Islamiyah (JI) tanpa bukti kukuh. Ketika melancarkan kempen yang bermula April hingga Jun nanti, GMI mengulangi seruan kepada rakyat prihatin, khususnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat, supaya menekan kerajaan pusat untuk membebaskan tahanan atau memberi keadilan sewajarnya di mahkamah.
Dari siasatan peguam GMI, tahanan-tahanan yang dibawa secara rahsia dari Kemta ke Kuala Lumpur adalah:
Mat Sah bin Mohd Satray (dikurung 6 tahun)
Abdul Murad bin Sudin (dikurung 6 tahun)
Mohd Khider bin Kader (dikurung 6 tahun)
Abdullah Daud (dikurung 6 tahun)
Suhaimi bin Mokhtar (dikurung 6 tahun)
Sulaiman bin Suramin (dikurung 6 tahun)
Yazid bin Sufaat (dikurung 6 tahun)
Zaini bin Zakaria (dikuung 6 tahun)
Tegas kenyataan itu lagi, GMI mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa memindahkan tahanan-tahanan tersebut dengan sewenang-wenangnya kerana besar kemungkinan soalsiasat dijalankan semula keatas tahanan terbabit.
Dari testimoni bekas tahanan ISA, kerajaan menggunakan taktik deraan fizikal & mental keatas para tahanan ketika sesi soal-siasat. Kes-kes rogol dan liwat keatas tahanan wanita mahupun lelaki juga dilaporkan berlaku.
Tambah kenyataan itu lagi, pihak polis telah melanggar undang-undang kerana Seksyen 73 ISA menggariskan bahawa pihak berkuasa tidak lagi dibenarkan menyoal-siasat selepas 60 hari penuh tempoh siasatan awal diberikan sejurus penahanan dibawah ISA.
“Oleh yang demikian, GMI menuntut penjelasan dari pihak polis dan kerajaan kenapa tahanan tersebut dipindah keluar dari Kemta ke PRC di Kuala Lumpur. Suhakam juga perlu membuat lawatan segera dan melawat tahanan-tahanan itu untuk memastikan mereka berada dalam keadaan baik dan tidak didera,” kata Nalini.