Pages

Tuesday, April 22, 2008

ORANG TERENGGANU MATA DUITAN?

Oleh HanaHumaira

Orang Terengganu Mata Duitan? Ayat ini memang mengundang kontroversi dan provokasi. Tidak kurang juga sakit hati rakyat Terengganu, termasuk juga saya, anak jati Terengganu yang mana mak dan ayah saya memang berasal dari negeri Darul Iman ini. Orang Terengganu juga tak cerdik berpolitik, rata-rata kawan saya dari Kelantan berkata begitu.Tak apalah, apa yang betul takkan saya nak nafikan, apa yang tak betul ingin juga saya perjelaskan.

Semasa pemerintahan PAS di negeri Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004, hasil royalti minyak telah dirampas dan ditukar namanya kepada Wang Ihsan. Banyak penyelewengan yang berlaku dalam hal tersebut, Idris Jusoh antara dalang utamanya. Menyalurkan hasil sumber kekayaan negeri untuk kepentingan peribadi.Kemudian apabila BN memerintah pada tahun 2004, isu royalti masih lagi senyap sunyi, namun projek-projek segera ciptaan kerajaan BN yang bertujuan memenuhkan tembolok terus berjalan dan berjalan, rakyat marhaen yang kurang celik ilmunya tertipu dengan suasana ini.

Dengan wang mereka cuba membeli dan memujuk rayu rakyat agar terus menyokong Dacing. Rakyat yang tahap pendidikannya rendah, kadang-kadang memang mudaj diumpan dengan hal yang sedemikian. Teringat saya kata-kata YB Abdul Wahid Endut dalam satu program, BN menggunakan umpan bagi menawan hati orang yang berpendidikan rendah atau orang kampung. Kalau orangnya cerdik dan celik dengan segala kepincangan BN, mereka akan diugut serta diancam tukar tempat kerja bagi yang bekerja dengan kerajaan, atau dikontrakkan. Bilamana prestasi tidak memuaskan pada tanggapan mereka, bila-bila masa orang itu boleh diberi ucapan 'selamat jalan'.

Pilihanraya baru-baru ini menyaksikan banyaknya wang yang cuba ditabur oleh pihak BN bagi memancing undi penerima wang ehsan terutamanya golongan muda. Pernah diadakan 2 kali simulasi pilihanraya yang mana melibatkan penerima wang ehsan tapi yang hairannya, masih juga ada yang menyokong PAS. Saya terkesan dengan gelombang kebangkitan pengundi muda yang mana rata-ratanya menyokong PAS (saya dah lihat bukti tersebut, tapi jangan tanya dari mana!). Majoritinya lelaki, manakala yang perempuan sibuk di bangsal Puteri UMNO kebanyakannya.

Memetik kata-kata Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat: "Deme Wi Gule, Kito Kaca, Demo Wi Kain Kito Paka, Tapi Bilo Ngundi Kito Pakoh Bule". Situasi sebegini masih sulit untuk berlaku di negeri Terengganu, kerana memang nampak ketara antara orang UMNO dengan orang PAS sendiri. Orang PAS yang sejati tidak akan menerima Wang Ihsan itu kerana mereka tahu ianya bukan wang yang digunakan pada cara dan sumber yang betul. UMNO@BN merompak wang rakyat, kemudian menaburkannya untuk membeli rakyat yang kurang bijaksana. Mungkin kita boleh memaafkan andaikata yang menerima memang tersangat miskin dan kurang mampu. Tapi apa halnya dengan mereka yang dah ada 2-3 kereta masih lagi nak 'mengendeng' tak tentu pasal. Itulah sebenarnya 'mata duitan'.

Teringat saya akan kisah seorang rakan saya yang mana nenek beliau ditawarkan wang ihsan atas kapasiti ibu tunggal. Nenek rakan saya itu menolak kerana beliau berkata cara wang itu diagihkan tak betul Nenek rakan saya itu seorang yang buta huruf. Bila diprovok pada beliau yang mengambil wang itu tidak salah kerana nenek kurang mampu, katanya beliau lebih rela kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dari menerima wang ihsan. Tiada sekelumit pun rasa menyesal tidak menerimanya. Betapa tinggi konsep tawakkal yang dimiliki oleh nenek rakan saya itu.Alhamdulillah, beliau antara yang istiqamah memilih Parti Islam semenjak zaman-berzaman. Malah kata ibu saudara rakan saya, arwah ayah beliau yakni atuk rakan saya telah berwasiat kepada anak-anak beliau agar jangan pilih selain Parti Islam. Kuatnya kesan tarbiah orang dulu-dulu, detik hati kecil saya.

Biarkan sesiapa sahaja bebas menganggap Orang Terengganu ini bagaimana. Tapi insyaALLAH saya tahu siapa saya dan rakan-rakan saya yang lain dalam perjuangan ISLAM ini bagaimana. InsyaALLAH kami akan sama-sama berjuang melakukan anjakan paradigma terhadap masyarakat Terengganu yang masih belum terjaga dari mimpi dan belum sedar bahawa bukan BN@UMNO berkuasa memberi segala yang diperlukan dalam kehidupan, tetapi ALLAH. Sehubungan itu, kerja keras perlu dilakukan selama mana dunia masih belum kiamat. InsyaALLAH, rakyat Terengganu yang sedar takkan jadi Mata Duitan lagi malah sangat bijaksana dalam berpolitik. Sama-sama kita doakan masanya kan tiba jua seiring dengan usaha kita habis-habisan, aminnnnn...