Pages

Wednesday, April 23, 2008

Polis Oh Polis: Bekas menteri didakwa mencabul, hasil siasatan polis dinantikan ramai

KUALA LUMPUR, 23 April - Kejadian itu dikatakan berlaku pada 14 April di salah sebuah hotel yang bertaraf lima bintang berdekatan Stesen Sentral Kuala Lumpur dan pada malam yang sama 'Black 14' juga sedang diraikan oleh 20,000 penyokong dan pencinta keadilan yang mana Dato' Seri Anwar Ibrahim sudah lepas edahnya untuk bertanding dalam pilhan raya yang bakal diadakan.

Bezanya ialah keesokan pagi, pihak polis dengan segera menghantar notis kepada Presiden KeADILan Datin Seri Wan Azizah bersama tiga lagi untuk hadir ke balai bagi menjadi saksi atas satu laporan polis yang dibuat berhubung penganjuran perhimpunan Black 14 yang dikatakan melanggar undang-undang.

Ramai pihak berharap agar 'kepantasan' yang sama dapat ditunjukkan oleh pihak polis dalam menjalankan siasatan terhadap bekas menteri tersebut dan hasil siasatan itu didedahkan kepada awam serta tidak ditutup begitu sahaja memandangkan ianya melibatkan pemimpin politik Barisan Nasional (BN).

Menurut Mohd Sayuti Omar (MSO) melalui Blog Merah Tintanya dilaporkan seorang bekas Menteri itu telah didakwa melakukan gangguan seksual ke atas seorang wanita di di Kelab Havana Hotel Meridien di KL Sentral.

Dalam pilihan raya lalu beliau menang di kerusi Parlimen tetapi tidak dilantik semula menjadi menteri malah beliau dikatakan sahabat baik kepada Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Razak, kata Sayuti dalam blognya itu.

"Dan oleh kerana saya juga menghormati kod etika penulisan/kewartawan saya juga tidak boleh menyebut nama bekas menteri berkenaan," kata Sayuti.

Menurut laporan Bernama polis kini sedang menyiasat satu laporan melibatkan seorang bekas menteri yang didakwa melakukan jenayah seksual dan perkara itu telah disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC II Ku Chin Wah.

Katanya laporan itu dibuat oleh seorang wanita yang berumur 30-an di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada Jumaat lepas.

Dalam kejadian pada 14 April lepas, mangsa yang merupakan pekerja di hotel tersebut dikatakan bertemu dengan bekas menteri tersebut sebelum mendakwa dicabul.

Ku yang enggan mengulas lanjut mengenai kes itu berkata bekas menteri itu kini berada di luar negara dan pihaknya akan menyiasat dakwaan tersebut.

Beliau turut menegaskan pihak polis akan menjalankan siasatan tersebut secara adil tanpa mengira status pihak yang didakwa, dan pihaknya akan memanggil bekas menteri yang terlibat untuk siasatan sebaik beliau kembali ke tanah air.

Ku berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencabul kehormatan.

Jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman itu. - mks.