Pages

Wednesday, April 23, 2008

Ucapan takziah Presiden PAS buat keluarga Rustam A Sani

KUALA LUMPUR, 23 April (Hrkh) - Jenazah Allahyarham kolumnis terkemuka Rustam A. Sani selamat dikebumikan kira-kira jam 2.20 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, dekat sini.

Sebelum itu, jenazah disembahyangkan di Masjid Al Sharif, Gombak selepas Zohor.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali, Adun Hulu Kelang, Shaari Sungip serta bekas Ahli Parlimen Jeli, Affendi Mohamad antara ratusan teman-teman dan kenalan Allahyarham yang turut bersembahyang jenazah.

Sementara itu turut mengiringi jenazah ke tanah perkuburan ialah beberapa orang pimpinan PAS. Antaranya Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkifli Ahmad dan Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh. Turut serta Exco Kerajaan Selangor, Elizebeth Wong.

Sebelum itu, antara pimpinan PAS yang menziarahi jenazah Allahyarham di kediaman beliau di Taman Bukit Lela, Gombak pagi tadi ialah Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaafar, Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub, AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar. Turut menziarahi ialah pemimpin vateran PAS, Ustaz Hassan Sukri.

Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah Ismail merupakan antara mereka yang paling awal tiba di rumah Allahyarham sebaik mendapat tahu berita kematiannya.

Beberapa orang Adun dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat turut memberi penghormatan terakhir di kediaman Allahyarham. Antaranya, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim, Exco Kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua. Turut menziarahi Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Turut kelihatan ialah beberapa orang budayawan, penulis dan seniman. Antaranya, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato' Firdaus Abdullah, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato' Dr Hassan Ahmad, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Dato' Johan Jaafar serta bekas Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar NST, Dato' Abdul Kadir Jasin, dan penyair Dinsman.

Dato' Kamarudin Jaafar yang ditemui, menyampaikan ucapan takziah Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang serta pimpinan PAS kepada kepada keluarga Allahyarham.

Jelasnya, pemergian Allahyarham dianggap satu kehilangan seorang pejuang politik yang menegakkan keadilan untuk masyarakat.

"Beliau sangat tegas dengan perjuangannya. Sehingga saat akhirnya beliau tetap konsisten dengan penulisannya. Terbaru, dalam blognya, beliau menegur pandangan Tun Dr Mahathir yang disiarkan dalam program Hard Talk saluran BBC

"Sikap dan semangat juangnya sehingga akhir hayat. PAS amat menyanjungi perjuangannya," katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid Ibrahim yang ditemui di perkarangan masjid selepas solat jenazah turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Saya sudah lama mengenali Allahyarham iaitu sebelum saya menyertai KeADILan lagi. Saya pernah bersama-sama dengannya melakukan kajian sewaktu di ISIS. Allahyarham sering memberi pandangan unutk meninggatkan kemajuan golongan marhain.

"Saya mendoakan Allah menempatkan rohnya di kalangan para solehin. Kali terakhir saya menemuinya sewaktu bersama-sama meraikan kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya. Dan saya akan hadir dalam majlis pelancaran buku beliau Sabtu ini. Saya akan mengingatinya sebagai seorang yang turut bersama-sama dalam perjuangan kami,"katanya.

Pemergian Allahyarham turut dirasai rakan seperjuangannya. Bagi Dr Syed Hussin Ali, amat sukar baginya untuk mengungkapkan kata-kata kerana pemergian Allahyarham merupakan satu kejutan baginya.

"Saya sudah lama mengenalinya, sebelum Allahyarham memasuki universiti lagi. Sewaktu bapanya, Allahyarham Ahmad Boestamam dipenjarakan, saya seringkali berulang alik ke rumahnya. Allahyarham bukan sahaja sebagai murid saya bahkan sahabat baik saya

"Kami sama-sama dalam perjuangan sewaktu dalam PRM dahulu. Saya menghormatinya kerana seorang yang berprinsip, seorang yang rajin serta komited dalam memperjuangkan hak-hak rakyat,"katanya yang turut menyifatkan Allahyarham seorang penulis politik yang cukup unik.

Bagi Ustazah Nuridah Salleh, pemergian Allahyarham ibarat hilangnya seorang cendekiawan yang sering melontarkan idea bernas untuk pembangunan masyarakat dalam setiap tulisannya.

Nurul Izzah turut melahirkan rasa terkejut apabila menerima berita kematian Allahyarham kerana Allahyarham mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarganya.

"Saya masih ingat segala sumbangan dan sokongannya sewaktu zaman reformasi. Malah Allahyarham turut memberi sokongan kepada saya dan hadir pada hari penamaan calon baru-baru ini,"katanya.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Azrani,34, yang ditemui di kediamannya berkata, sungguh pun masih terkejut dengan pemergian ayahnya, beliau menerimanya dengan reda.

"Sungguhpun emak dan adik masih bersedih dan terkejut dengan pemergian ayah, saya perlu kuat dan memberi semangat kepada mereka. Kami memang terkejut kerana malam tadi kami makan bersama-sama. Tidak ada sebarang perubahan yang ditunjukkan. Tetapi pada jam 2.45 pagi , beliau tiba-tiba mengalami masalah pernafasan dan tidak sedarkan diri," katanya dengan tenang.

Katanya beliau segera menghubungi ambulan dan doktor peribadi keluarga mereka. Bagaimanapun katanya, doktor mengesahkan ayahnya sudah tiada disebabkan serangan jantung serta mengalami paru-paru berair.

Jelas Azrani yang juga bekas wartawan akhbar New Starits Times, Allahyarham ayahnya seorang yang cukup dedikasi dalam setiap lontaran ideanya dan amat menitik beratkan isu-isu sosial.

"Setiap pagi, sebaik sahaja bangun dari tidur, ayah akan mula menulis dan mengemas kini blognya. Semangat dan dedikasinya sejak dahulu sehingga kini tidak pernah luntur dan arwah amat ternanti-nanti kemunculan dua buah bukunya yang akan dilancarkan Sabtu ini,"katanya.

Anak sulung daripada dua beradik ini seterusnya berkata, beliau akan tetap menghadiri majlis pelancaran buku tersebut sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan ayahnya selama ini.

Buku terbaru Allahyarham bertajuk Failed Nation? Concerns of Malaysian Nastionalist dan Social Roots of The Malay Left, akan dilancarkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 26 April, Sabtu jam 3:00 petang di Di Dewan Seminar Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam.