JAKARTA 15 Sept. – Seramai 23 orang fakir miskin mati, manakala lapan
yang lain berada dalam keadaan kritikal
akibat sesak nafas kerana terhimpit semasa
berasak-asak untuk mendapatkan wang zakat
daripada seorang ahli peniagaan di Purworejo,
Pasuruan, Jawa Timur, 800 kilometer ke timur
Jakarta, hari ini.
Kebanyakan mangsa adalah wanita.
Kejadian itu berlaku tengah hari ini
semasa lebih 5,000 penduduk sekitar Pasuruan
berbaris di halaman rumah ahli perniagaan
itu untuk mendapatkan wang zakat bernilai
40,000 rupiah (RM16).
Ketua Polis daerah, Harry Sitompul
berkata, pengagihan wang zakat itu merupakan
acara tradisi oleh keluarga kaya itu,
sempena bulan Ramadan.
Penduduk miskin itu dilaporkan
mengunjungi rumah peniaga berkenaan yang
menjalankan perniagaan jual beli kenderaan
sejak pukul 4 pagi, setelah mendapat khabar
tentang pemberian wang zakat berkenaan.
“Setakat ini 23 telah mati dan polis
masih menyiasat,” kata jurucakap Hospital
Soedarsno.
Ramai yang cedera dan pengsan akibat
dihimpit dan dipijak ketika berebut-rebut
untuk mendapatkan bantuan zakat tersebut.
Polis telah menahan ahli perniagaan itu
untuk siasatan kerana gagal mengawal orang
ramai semasa hendak memberikan zakat
tersebut.
Dalam kejadian lain, enam remaja mati
lemas setelah terperangkap di dalam danau
berlumpur di Pamulang, dekat Jakarta, pagi
semalam.
Remaja itu terdiri daripada anak-anak
polis yang nekad terjun ke dalam danau
setelah sepasukan polis datang untuk
menyuraikan pergaduhan dua kumpulan remaja
berkenaan.
– Utusan