Pages

Tuesday, September 16, 2008

Majoriti cukup untuk tubuh kerajaan - Anwar

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Hrkh) -Pakatan Rakyat memiliki jumlah Ahli
Parlimen yang mencukupi untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru.


Menurut Penasihat Parti KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, majoriti yang ada
ketika ini sudah dapat menubuhkan kerajaan baru.


Tambahnya, semalam pihaknya telah menghantar surat kepada Perdana Menteri
Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memaklumkan berhubung senarai jumlah
Anggota Parlimen yang akan menyertai Pakatan Rakyat.
Image


Bagaimanapun Anwar yang berucap di hadapan kira-kira 15,000 penyokong di
majlis sambutan Hari Malaysia ke-45 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya,
di Kelana Jaya di sini semalam, tidak memberitahu nama-nama mereka yang terlibat.


Menurut Bernama, Anwar mendakwa satu pertemuan akan diadakan dengan Perdana
Menteri nanti untuk membincangkan perkara berkaitan dakwaan beliau mengenai
peralihan kuasa.
Image


Beliau juga menggesa kedua-dua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)
iaitu exco kerajaan negeri Selangor yang juga Anggota Parlimen Seputeh, Teresa
Kok, dan pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dibebaskan.


"Untuk pertahankan negara yang bebas, bukan dicengkam oleh undang-undang yang
zalim. Kalau kita (Pakatan Rakyat) memerintah, saya janji ISA akan dimansuhkan
dan tahanan politik dibebaskan," katanya.


Dalam pada itu, beliau juga berjanji akan mengangkat martabat bahasa Inggeris
dan bahasa Cina kerana Malaysia akan hebat jika dapat menguasai kedua-dua bahasa
tersebut.


Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng;
Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit
Siang; Setiausaha Agung PAS,Dato' Kamaruddin Jaafar; Bendahari PAS, Dr Hatta
Ramli dan Naib Presiden KeADILan, Mohd Azmin Ali. - mks.