Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB
PETALING JAYA: Penasihat DAP, Lim Kit Siang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempertimbang semula keengganan beliau untuk mengadakan sidang Parlimen tergempar seperti yang diminta Pakatan Rakyat.
“Kenapa beliau tidak mahu? Jika Umno dan Barisan Nasioanl (BN) rasakan yang kami (Pakatan Rakyat) tidak ada senarai nama Ahli Parlimen BN (untuk lompat parti) itu, biarkan Parlimen bersidang (lebih awal),” katanya ketika hadir pada sidang media pembebasan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dari tahanan ISA, tengah hari tadi.
Beliau berkata, sidang Parlimen itu penting untuk mengumukakan usul tidak percaya kepada Abdullah dan jika ternyata usul itu gagal, Pakatan Rakyat sedia menerima kenyataan tersebut.
Lim berkata, ahli-ahli Umno sendiri tidak gembira dengan kepimpinan Abdullah dan mahu beliau berundur dari jawatannya lebih awal daripada masa yang ditetapkan iaitu Jun 2010.
Semalam, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu pemimpin Pakatan Rakyat (PR) telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar segera mengadakan sesi Parlimen tergempar.
Menurut beliau, sesi Parlimen itu seharusnya diadakan tidak lewat dari Selasa 23 September ini untuk membahaskan usul tidak percaya terhadap Abdullah kerajaan pimpinannya.
Abdullah bagaimanapun menolak permintaan itu dan meminta Pakatan Rakyat menunggu sahaja sidang Parlimen yang akan bermula pada 13 Oktober depan.