KOTA BHARU, 26 Dis (Hrkh) - Urusetia Pembangunan Wanita yang mana sebelum ini bergabung bersama Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO kini ditadbir secara berasingan bagi memantapkan lagi pengurusannya.
Perkara itu diputuskan pada mesyuarat Exco minggu lepas.
Kini secara tidak langsung wujud tiga urusetia di bawah kerajaan negeri iaitu Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri serta Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO yang diwujudkan sejak 2004.
Manakala Urusetia Penerangan pula sama usia kerajaan negeri sekarang.
Urusetia Pembangunan Wanita diletak di bawah anggota Exco, Wan Ubaidah Omar, manakala Abdul Fattah Mahmood pula bertanggungjawab ke atas Urusetia Pembangunan Insan.
Urusetia Penerangan sekarang berada di bawah Dr Mohamad Fadzli Hassan.
Sebelum ini kedua-dua urusetia terbabit diketuai Abdul Aziz Yunus. Dan dengan pengasingan tersebut Urusetia Pembangunan Wanita akan diketuai pengarah baru.
Wan Ubaidah ketika ditemui di sini berkata, melalui pengasingan itu diharap gerak kerja program wanita dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
"Pegawai yang akan mengurus urusetia berkenaan akan dilantik awal tahun hadapan.
"Sekarang kita sedang meneliti calon-calon yang dikemukakan dan kita akan memilih mana-mana calon yang sesuai," ujarnya. - mj ? _