Pages

Friday, January 2, 2009

YB Mohd Abdul Wahid Endut Calon Pas

KUALA TERENGGANU, 1 Jan (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam Mohd Abdul Wahid Endut dinamakan sebagai calon Pas untuk pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu hari ini.

Pengumuman dibuat oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hadapan kira-kira 8,000 penyokong Pas di Stadium Negeri di sini Khamis malam.

Hadi berkata beliau sendiri yang memilih Mohd Wahid, 52, yang menjadi Adun Wakaf Mempelam sejak 1990, dan ia mendapat restu Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Menurutnya dalam pemilihan calon itu, beliau mendapat pandangan daripada pelbagai pihak termasuk mengadakan isytisyarah (pandangan daripada orang ramai)dan istiqarah (sembahyang dan minta petunjuk).

"Sangat susah pilih calon Pas kerana calon-calon yang diketengahkan semuanya baik-baik... tiada rasuah, tiada politk wang dan tiada penyelewengan politik," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat pengumuman itu, Abdul Hadi berkata Mohd Abdul Wahid dipilih berdasarkan kepada ketokohannya sebagai Adun Wakaf Mempelam selama lima penggal.

Katanya sebagai Exco Pembangunan Usahawan dan Belia Negeri semasa Pas memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2003, Mohd Abdul Wahid dilihat mampu menarik sokongan pengundi dari setiap lapisan masyarakat.

"Calon kami mempunyai banyak pengalaman sebagai wakil rakyat... tidak pernah kalah dalam lima pilihan raya umum lepas, dan dia menepati kehendak ramai," katanya.

Mohd Abdul Wahid merupakan Bendahari Pas Terengganu dan Yang Dipertua Pas Kuala Terengganu.

Beliau memiliki kelulusan Ijazah Sains Marin dan Perikanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sementara itu Mohd Abdul Wahid ketika ditemui berkata beliau mempunyai banyak isu yang hendak ditimbulkan semasa berkempen untuk pilihan raya kecil itu nanti.

Bagaimanapun beliau enggan menjelaskan isu-isu berkenaan buat masa ini.

"Tunggu. Banyak masa lagi untuk berkempen. Bila tiba masanya saya akan kupas satu persatu ikut keperluan semasa," katanya.

Mohd Abdul Wahid berkata beliau juga tidak akan menyerang peribadi lawannya ketika berkempen untuk pilihan raya kecil itu.

Mengenai calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang merupakan pemimpin peringkat nasional, Mohd Abdul Wahid berkata kedudukan itu tidak menjamin kemenangan seseorang calon.

Sementara itu Wan Ahmad Farid ketika diminta mengulas mengenai calon Pas itu berkata siapa pun lawan yang dinamakan untuk menentang beliau, ia tidak akan mengubah pendekatan BN serta falsafah parti untuk mendekati dan membawa mesej pembangunan kepada penduduk Kuala Terengganu.

Katanya BN juga tidak gentar dengan isu-isu yang akan dibawa Pas semasa kempen nanti, kerana ia adalah isu sama yang dibawa parti itu pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Beliau berkata rakyat sendiri sudah dapat membuat penilaian dan memilih wakil BN, Allahyarham Datuk Razali Ismail pada pilihan raya umum itu.

-- BERNAMA