Pages

Saturday, January 3, 2009

Umno tak leh cari Make Di Kelate

"Dalam akhbar Sinar Harian keluaran 31 Disember 2008, Annuar Musa selaku Ketua Badan Perhubungan UMNO Kelantan dilaporkan sebagai berkata “Hudud adalah hukum Allah. Kita tidak pernah menolak cuma belum bersedia melaksanakan di atas beberapa sebab”. Beliau menyeru agar PAS dan UMNO menjalinkan kerjasama dan mencari jalan terbaik untuk kebaikan umat Islam di negara ini.

Kenyataan tersebut mencerminkan seolah-olah UMNO telah menerima dasar perjuangan PAS yang berteraskan Islam dan mengakui bahawa hudud adalah suatu tuntutan syarak ke atas umat Islam di mana UMNO tidak menolak hukum tersebut dan akan melaksanakannya apabila tiba masa yang sesuai nanti.

Inilah bentuk ungkapan ahli politik sekular yang sering didengar bukan sahaja di negara ini, malahan di negara Islam yang lain. Apakah ungkapan tersebut boleh dipercayai atau tidak, terpulanglah kepada diri masing-masing. Sebagai umat Islam yang diri mereka tertakluk di bawah hukum Allah, mereka perlu sedar bahawa tanggungjawab syarie untuk mengimplimentsikan hukum Allah adalah besar dan suatu keutamaan, bukan kerja samping apabila keadaan mengizinkan.

Misalnya, mereka tidak harus berkata bahawa perkahwinan wajib dilangsungkan menurut syariat Islam kerana ia adalah tuntutan syarak, tetapi mereka hanya akan melaksanakannya jika keadaan mengizinkan. Ini uslub ungkapan orang munafik yang sentiasa berdalih untuk mengelakkan diri dari melaksanakan hukum Allah. Ketidakikhlasan mereka terhadap perkara tersebut dapat dilihat apabila mereka bukan sahaja tidak bersedia melaksanakannya, sebaliknya menghalang orang lain yang berusaha untuk melaksanakannya.

Dalam konteks saranan Annuar Musa itu, kita tidak tahu sama ada kenyataan tersebut merujuk kepada dasar sebenar UMNO atau cuma pendapat peribadinya yang kelihatan cuba menunjukkan sikap lunak setelah dirinya tidak laku lagi di Kelantan sekarang.


Beliau dikatakan bukan sahaja gagal memimpin UMNO Kelantan, malahan juga gagal dalam memajukan KADA yang sehingga kini masih di takuk lama kerana tiada idea baru untuk mereformasikan sektor pertanian padi, sehingga banyak tanah-tanah bendang terbiar dan petani terus menderita akibat dasar KADA yang tidak relevan lagi dengan suasana industri pertanian moden sekarang.

Dengan kata lain, Annuar dilihat gagal memacu perkembangan KADA ke arah pertanian moden seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri kerana beliau sibuk dengan urusan politik untuk kepentingan dirinya.

Kini baru beliau bercakap tentang kerjasama dengan PAS setelah upayanya untuk merampas Kelantan lumpuh. Ungkapan yang sama juga pernah dibuat oleh Datuk Alwi, ADUN Ketereh setelah mendapati bahawa bumi Kelantan tidak subur lagi untuk membiakkan benih UMNO. Memang bumi Cik Siti Wan Kembang itu tidak sesuai untuk menyuburkan UMNO sehingga menyukarkan aktivis politik tersebut mencari makan dengan bermodalkan UMNO, apalagi untuk menjulang dan menggilap populariti mereka di peringkat nasional.

Inilah yang terjadi kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Ibrahim Ali (yang akhirnya tersingkir dari UMNO) dan yang terbaru Datuk Awang Adek. Mungkin nasib mereka lebih baik dalam arena politik jika ditakdir dilahir dan bermustautin di negeri-negeri lain umpamanya.

Kenapa ungkapan kerjasama dengan PAS baru sekarang bermain di bibir pemimpin UMNO negeri dan pusat yang sebelum ini dianggap sebagai musuh nombor satu mereka? Apakah mereka sedar bahawa perubahan tersebut seolah-olah melutuk di kaki musuh yang pernah ditendang suatu masa dulu? Sejarah penyingkiran PAS mungkin masih segar dalam ingatan tokoh veteran UMNO Kelantan seperti Tengku Razalegh, Tan Seri Hussein Ahmad dan lain-lain yang turut menyumbang kepada agenda pemecatan PAS dulu.

Waktu itu, PAS disifatkan sebagai penghalang terbesar kebangkitan UMNO Kelantan. Selagi PAS dibiar berkuasa di Kelantan, selama itulah UMNO menjadi produk second class yang tidak digemari masyarakat. Sebab itu, PAS yang ketika itu dipimpin oleh Datuk Mohd. Asri harus ditendang dari pakatan BN. Apakah hal ini disedari oleh pemimpin muda UMNO Kelantan? Jika tidak, pergilah bermutalaah dengan pemimpin veteran UMNO untuk mendalami sejarahnya.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa Kelantan adalah satu-satunya bumi yang subur bagi PAS. Walaupun berbagai jenis baja ditabur oleh UMNO untuk menyuburkannya, namun ianya tidak menjadi. Lantaran itulah PAS boleh menang walaupun meletak calon luar yang tidak pernah dikenali oleh pengundi tempatan.

Rakyat Kelantan nampaknya tidak kisah sangat walau pun mereka tidak pernah berpeluang bertemu muka dengan wakil rakyat parlimen kerana mereka banyak menghabiskan masa di luar kawasan, terutama di Kuala Lumpur.

Namun yang banyak kedengaran merungut ialah pengundi atas pagar atau bukan penyokong PAS. Mereka tidak puas hati kerana wakil rakyat yang terdiri dari orang luar Kelantan dikatakan hanya datang menumpang tuah di Kelantan untuk mendapatkan habuan, tetapi bermustautin di kampong halaman asal mereka. Mereka datang sekali sekala ke kawasan seperti burung yang hinggap di dahan sekadar mencari makan, tetapi setelah hari senja mereka pulang ke sarang. Di

kalangan penyokong PAS sendiri ada yang bimbang bahawa kebanjiran calon luar akan menghakis semangat juang aktivis tempatan yang berkelayakan dan sekali gus menimbulkan persepsi umum bahawa PAS Kelantan ketandusan anak tempatan sehingga terpaksa pengimport tokoh luar setiap musim pilihan raya. Walau pun perasaan tersebut wujud dalam benak mereka, namun demi kesetiaan terhadap perjuangan parti, mereka sanggup mengenepikannya.

Namun, sikap terbuka PAS itu dimanipulasikan oleh UMNO untuk menimbulkan rasa kurang senang masyarakat tempatan terhadap calon luar PAS. Bagi mereka, kehadiran pemimpin PAS dan Keadilan yang datang mencuba nasib di Kelantan menunjukkan mereka tidak diterima di negeri mereka sendiri walaupun mempunyai pangkat dalam parti.

Mereka mempersoalkan di mana letaknya kewibawaan tokoh tersebut yang ternyata gagal menarik sokongan masyarakat di kawasan asal mereka? Inilah unsur-unsur negatif yang sukar ditangkis oleh pemimpin PAS tempatan terutama mereka yang agak kurang pendedahan tentang manhaj perjuangan.

Ada pun pejuang yang matang dan kental, mereka berpegang kepada prinsip bahawa perjuangan parti yang berteraskan Islam tidak mengenal batas geografi dan kaum. Inilah yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan para sahabat. Sebab itulah Baginda sendiri berhijrah ke Madinah kerana menyedari bahawa bumi tersebut subur dan sesuai untuk menyemai benih Islam berbanding dengan Makkah pada waktu itu.

Sebelum itu Baginda pernah mencuba nasib di Taif, tetapi ternyata tidak sesuai kerana keadaan pemikiran penduduk di situ yang pasif. Ramai sahabat berhijrah meniggal kampong halaman untuk mengembang ajaran baru bernama Islam di daerah yang jauh dan mereka diterima oleh masyarakat tempatan dengan baik.

Inilah model yang dijadikan asas kepada strategi perjuangan PAS demi untuk mengembang pengaruhnya dalam masyarakat di Malaysia. Mereka meletakkan calon yang berkelibar untuk bertanding dalam pilihan raya tanpa mengira dari mana asalnya. Allah Yarham Ustaz Zulkifli Muhammad yang berasal dari Utara Semenanjung pernah bertanding di Bachok dan beliau berjaya memertabatkan wadah perjuangan PAS di peringkat nasional sehingga disegani oleh lawan. Demikian juga Abu Bakar Hamzah, seorang tokoh yang se angkatan dengan Dato’ Asri Hj. Muda.

Hari ini gendang perang yang dipalu UMNO bertukar tempo kepada irama sentimental, sebagai tanda kesediaannya untuk berdamai dengan PAS. Malahan Datuk Ibrahim Ali sendiri beberapa hari lepas menyarankan agar UMNO-PAS menjalinkan kerjasama walaupun dirinya menjadi mangsa sepak terajang UMNO. Apa motif sebenar saranan tersebut, fakir-fikirlah sendiri.

Soalnya, apakah PAS kini bersedia menyahut pelawaan UMNO setelah saranan demi saranan yang dibuat berulang kali oleh PAS untuk bermuzakarah ditolak mentah-mentah oleh UMNO semasa pimpinan Mahathir dulu? Penolakan itu bukan kerana tidak perlu program tersebut diadakan, tetapi semata-mata kerana ego politik. Apakah kini PAS telah menguji keikhlasan UMNO?

PAS tidak harus bertindak seperti kumpulan ikan tenggiri yang terpikat dengan umpan tiruan yang dipasang oleh nelayan laut dalam. Lantaran terpukau dengan kilauan umpan pelastik, mereka terus menyerbu dan menyambarnya, tetapi yang tertelan ialah mata kail besar yang tidak mungkin lagi diluah atau ditanggalkan melainkan setelah isi perut diburai oleh sang nelayan. "