Pages

Sunday, January 25, 2009

ADUN Bota dari Umno sertai Pakatan Rakyat

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota di Perak, Datuk Nasarudin Hashim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa hari ini.


Ia diumumkan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di ibu pejabat parti itu dekat sini pukul 2.30 petang tadi.


Dengan perkembangan ini, Nasarudin yang juga bekas Ahli Parlimen Parit merupakan ADUN pertama dari Barisan Nasional (BN) dan ADUN kedua menyertai PKR sejak 8 Mac lalu.


Pada November lalu, ADUN Bebas Ngemah di Sarawak, Gabriel Adit menyertai PKR - salah satu anggota komponen Pakatan Rakyat.


Nasarudin juga merupakan bekas Pengerusi Felcra Berhad selama dua tahun sejak Oktober 2006.


Nasarudin ketika mengumumkan keputusannya itu berkata, beliau bertindak sedemikian setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota.


Nasarudin, 58, berkata, beliau amat yakin dengan kepimpinan PKR yang mempunyai iltizam dan idealisme yang kuat untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.


"Setelah mengambil pertimbangan terutamanya melihat perkembangan suasana politik khasnya melihat arah tuju sokongan rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu serta keadaan yang wujud dalam parti dan kepimpinan Umno masa kini, saya dengan ini mengambil keputusan untuk keluar dari Umno dan seterusnya menyertai PKR iaitu salah satu parti dalam Pakatan Rakyat," katanya.


Bagaimanapun beliau mengakui belum memaklumkan keputusan itu kepada Umno dan akan menulis surat dalam waktu terdekat.


Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, Nasaruddin menewaskan calon PKR, Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi.


Nasarudin dari Umno memperoleh 6,556 undi.


Pada pilihan raya umum ke-12, Pakatan Rakyat yang kini memerintah Perak, menguasai 31 kerusi DUN manakala BN pula 28 kerusi.


Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, beliau gembira dengan perkembangan itu kerana Nasarudin merupakan seorang tokoh Umno yang penting di Perak terutama dalam Bahagian Parit.


"Beliau seorang yang aktif dalam Umno dan dianggap sebagai tokoh bukan sahaja di Bahagian Parit malah mempunyai potensi yang amat besar di Perak," katanya.


Anwar berkata, hal itu merupakan satu anjakan perubahan memandangkan salah satu sebab Nasarudin menyertai PKR adalah atas kehendak rakyat di kawasannya.


"Saya melihat ini sebagai satu permulaan baru dan anjakan perubahan dalam Pakatan Rakyat," katanya.


Ketika ditanya berhubung PKR Pulau Pinang yang mendakwa kerajaan negeri yang dikuasai DAP tidak mengadakan perbincangan dengan parti itu sebelum membuat sesuatu keputusan, Anwar berkata, beliau telah menerima laporan berhubung perkara itu daripada kerajaan negeri pagi tadi.


"Itu adalah isu di peringkat kerajaan negeri. Kita akan adakan perbincangan di peringkat Pakatan Rakyat di Pulau Pinang," katanya.


Nasarudin maklum MB Perak sertai PKR tahun lalu
Pakatan Perak mahu tarik ramai lagi ADUN BN


Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


PETALING JAYA: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin berharap lebih ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) akan mengikut jejak wakil rakyat Bota, Datuk Nasarudin Hashim untuk menyertai Pakatan Rakyat.


Mohd. Nizar berkata, beliau amat mengalu-alukan kemasukan Nasarudin yang juga bekas Pengerusi Felcra Berhad ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), salah satu komponen parti dalam Pakatan Rakyat, berkuat kuasa hari ini.


"Kita alu-alukan kemasukan beliau memandangkan beliau adalah orang yang hebat dan bijak.


"Kita minta ADUN yang lain mengikut jejak langkah beliau," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.


Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman yang dibuat Nasarudin untuk menyertai PKR pada sidang media yang turut dihadiri Penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira pukul 2.30 petang tadi di ibu pejabat PKR, di sini.


Nasarudin, 58, berkata, beliau mengambil keputusan itu setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan DUN Bota dan amat yakin dengan kepimpinan PKR yang mempunyai iltizam dan idealisme yang kuat untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.


Mohd. Nizar berkata, Nasarudin telah memberitahu hasrat beliau untuk menyertai PKR beberapa minggu yang lalu.


"Saya telah mengetahuinya sebelum ini dan beliau lebih nekad untuk mengambil keputusan itu setelah keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini yang berpihak kepada PAS," katanya.


Ditanya sama ada kerajaan negeri akan menawarkan sebarang jawatan kepada Nasarudin berikutan penyertaannya ke dalam Pakatan Rakyat, Nizar berkata, pihaknya akan berbincang mengenai perkara tersebut.


"Setakat ini, jawatan beliau adalah ADUN Bota. Kita tidak menyatakan tidak ada sebarang kemungkinan beliau ditawarkan jawatan... kita akan bincangkan," katanya.


Katanya, pihaknya kini sedang dalam usaha menarik lebih ramai ADUN dan ahli BN untuk menyertai Pakatan Rakyat.


"Kita sedang berusaha ke arah itu dan kini sedang merangka strategi untuk melaksanakannya," katanya.


Bernama melaporkan bahawa desas-desus mengenai kemungkinan Nasarudin meninggalkan Umno bertiup kencang selepas beliau tewas dalam pertandingan jawatan Ketua Umno Bahagian Parit pada pemilihan dua bulan lepas.


Nasaruddin adalah bekas timbalan ketua bahagian berkenaan.