Pages

Saturday, January 17, 2009

Calon PAS menang pilihan raya kecil Kuala Terengganu



MENANG... Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengangkat tangan calon partinya, Mohd Abdul Wahid Endut (kiri) selepas diumumkan pemenang Pilihan Raya Kecil Kerusi Parlimen Kuala Terengganu di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Stadium Negeri di sini, hari ini.

[DIKEMAS KINI, 10 MALAM] KUALA TERENGGANU: Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut hari ini telah memenangi kerusi pilihan raya kecil Kuala Terengganu dengan majoriti yang lebih besar.


Mohd Abdul Wahid,52, memperolehi 32,883 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan 30,252 undi.


Beliau menang dengan majoriti 2,631 undi.


Sementara itu, calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam memperoleh 193 undi sekaligus kehilangan wang deposit.


Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan di Stadium Negeri di sini, pada pukul 9.30 malam tadi.


Hanya Mohd Abdul Wahid yang berada di dewan ketika keputusan tersebut diumumkan tanpa kehadiran dua lagi calon yang bertanding.


Selepas keputusan diumumkan, beliau disambut oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharuddin Mat Isa.


Abdul Hadi ketika ditemui wartawan berkata, pihaknya telah menjangka majoriti yang lebih besar kali ini.


Ketika ditanya mengenai undi daripada pengundi Cina yang tidak memuaskan pada hari ini, Abdul Hadi berkata, perkara itu tidak benar.


Mohd Abdul Wahid yang kemudiannya mencelah berkata, bilangan undi yang diterima daripada kaum Cina pada kali ini adalah lebih tinggi daripada pilihan raya umum 8 Mac lalu.


"Kami akan membuat post-mortem untuk melihat arah aliran penyokong Cina," katanya.


Mengenai isu yang hendak dibawa ke Parlimen, Mohd Abdul Wahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam selama lima penggal berkata, beliau akan menumpukan kepada isu royalti minyak kepada Terengganu dan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).


"Ini (isu) yang saya akan tumpukan dan akan dijelaskan kemudian," katanya.


Sementara itu, di luar tempat penjumlahan undi di Stadium Negeri di sini, kira-kira 2,000 penyokong PAS dan Pakatan Rakyat berkumpul untuk meraikan kejayaan pemimpin mereka.


Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam amalan demokrasi, BN menghormati keputusan rakyat.


"Sudah tentu ia merupakan satu kekecewaan kepada BN, kami akan terus berkhidmat dan tidak akan melemahkan semangat kami," kata beliau kepada media di kediama Menteri Besar di sini, sebentar tadi.


Ketika ditanya sama ada kekalahan itu akan memberi impak kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang, Najib berkata: "Tidak ada impak."


Pilihan raya kecil Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian ahli Parlimennya, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada 28 Oktober lalu ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.


Pada pilihan raya umum lalu, Razali berjaya mengekalkan kerusi berkenaan apabila menewaskan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi.


Razali memperoleh 32,562 undi, manakala Mohamad (31,934 undi) dan Maimun (685 undi).