Sunday, February 1, 2009

2 ADUN PKR "hilang" letak jawatan, seorang nafi mahu cabar


MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (tengah) menjawab soalan wartawan selepas mengadakan mesyuarat tergempar dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat di kediamannya hari ini. - foto The Star oleh ZABIDI TUSIN
[DIKEMAS KINI, 9.30 MALAM] PETALING JAYA: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang didakwa "hilang" dan "tidak dapat dihubungi" sejak lima hari lalu, meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat berkuat kuasa hari ini.
Kedua-dua ADUN berkenaan ialah Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering).
Bagaimanapun Jamaluddin ketika dihubungi sebentar tadi menafikan telah menghantar surat meletakkan jawatan.
Kata beliau, surat yang kandungannya dimaklumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri hari ini merupakan surat yang ditandatangani Mac lalu.
Perkembangan itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil - pilihan raya kecil peringkat negeri yang pertama sejak pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.
Dua pilihan raya kecil kerusi Parlimen telah diadakan di Permatang Pauh, Pulau Pinang Ogos lalu dan Kuala Terengganu, Terengganu bulan lalu.
Dengan keputusan meletakkan jawatan itu, Jamaluddin dan Mohd. Osman tidak boleh bertanding semula dalam pilihan raya untuk tempoh lima tahun akan datang.
Jamaluddin, 52, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, pula pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.
Sebelum ini kedua-dua mereka menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dan perbicaraan kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Sesyen pada 10 Februari ini.
Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Jamaluddin menerima 6,771 undi untuk menewaskan calon BN, Datuk M. Ramasamy yang mendapat 5,744 undi.
Mohd. Osman pula menang dengan majoriti 1,102 undi bagi merampas kerusi DUN Changkat Jering. Beliau memperoleh 9,411 mengalahkan penyandang dari BN yang juga Yang Dipertua DUN Perak sebelum itu, Datuk Mat Isa Ismail yang mengumpul 8,309 undi.
DISAH SPEAKER
Ia dinyatakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar di Ipoh pukul 5.45 petang tadi.
Kata beliau, kedua-dua mereka menghantar surat menggariskan keputusan itu menerusi faks yang dihantar ke rumahnya.
"Kedua-dua Mohd. Osman dan Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai ADUN berkuat kuasa serta-merta dan saya menerima peletakan jawatan mereka di bawah Perkara XXXV Perlembagaan Negeri.
"Sebagai Speaker, saya akan mengumumkan kedua-dua kerusi N14 Changkat Jering dan N59 Behrang kosong secepat yang mungkin," kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Speaker akan memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi esok untuk memaklumkan perkembangan tersebut.
Pakatan Rakyat mempunyai 32 anggota di Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai PKR pada Ahad lalu manakala BN dianggotai 27 wakil dan walaupun dua Adun PKR berkenaan keluar, kerajaan negeri masih mempunyai majoriti satu kerusi.
REAKSI MB PERAK
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika dihubungi mStar Online berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan akan meminta supaya SPR mengadakan pilihan raya kecil.
"Sah kedua-dua mereka (ADUN) letak jawatan... saya telah dimaklumkan mengenainya sebentar tadi," katanya.
Ketika ditanya sama ada kecewa dengan keputusan mereka, pemimpin dari PAS itu memberitahu: "Bukan soal kecewa tapi ini menunjukkan Umno dan BN bertindak jahat memancing orang kami."
SPR TUNGGU NOTIS
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan termasuk memanggil pilihan raya kecil jika menerima pengesahan rasmi mengenai kekosongan yang wujud.
"(Berdasarkan maklumat media)... maknanya sudah ada kekosongan... SPR apabila menerima surat tentang kekosongan akan mengambil langkah-langkah perlu," katanya.