Pages

Wednesday, February 4, 2009

Belum ada keputusan lagi, kata MB Perak

7.00 petang

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaludin berkata, sehingga kini belum ada keputusan muktamad samada kerajaan negeri Perak yang ada akan jatuh dan diambilalih oleh BN.

Ini kerana, Sultan belum membuat keputusan lagi terhadap permohonannya untuk membubarkan Dun Perak.

Beliau berkata demikian kepada Tvpas.com yang menemui beliau di Pejabat Perhubungan PAS Perak sekejap tadi.

Beliau dijangka akan membuat penerangan kepada pimpinan PAS Perak apa yang berlaku dalam pertemuannya dengan Sultan Perak petang tadi.

Turut serta di pejabat PAS Perak adalah Adun dan juga Exco kerajaan negeri.
Posted by Siasah at 2:53 AM 4 comments
Terserah kepada Sultan Perak, kata Mohd Nizar

6.30 petang

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaludin telah keluar dari Istana Kinta jam 5.45 petang dengan memaklumkan dia telah menyerahkan segala apa yang perlu untuk ditimbang oleh Sultan Perak.

Beliau belum lagi membuat kenyataan lanjut.

Adalah difahamkan, Sultan telah menangguhkan keputusan terhadap permohonan beliau untuk membubarkan Dun Perak.

Ini bermakna, Nizar telah tidak berjaya untuk mendapatkan persetujuan Sultan untuk membubarkan Dun Perak hari ini.

Di Putrajaya, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan, Pakatan dan BN sekarang mempunyai jumlah kerusi yang sama iaitu 28 dengan 28 dalam Dun Perak.

"Tetapi, kami ada tiga kerusi bebas yang bersama dengan kita," kata Najib dalam sidang akhbarnya.

Tiga kerusi bebas adalah PKR Behrang (Jamaludin Abu Bakar), PKR Changkat Jering (Mohd Osman Jailu) dan DAP Jelapang (Hee Hip Hong).

Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim pula menyertai BN semula.

Mengikut peraturan biasa, Dun Perak perlu bersidang untuk membuat undi tidak percaya kepada kerajaan yang ada dan jika berjaya, barulah kerajaan Pakatan Rakyat di Perak akan jatuh.

Selepas itulah baru BN boleh membentuk kerajaan yang baru.

Namun Najib dalam kenyataannya berkata, pihaknya akan menghadap Sultan Perak segera untuk memohon perkenan penubuhan kerajaan Perak yang baru.