Pages

Friday, December 11, 2009

Isu rumah ibadat: Penjelasan Kor Ming

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming menegaskan, kenyataannya berhubung isu peruntukan kerajaan dalam membina rumah ibadat Islam dan bukan Islam telah diputar belit dan dijadikan bahan menghasut sentimen perkauman oleh sesetengah media.

Menurutnya, dalam kenyataan kelmarin beliau hanya merujuk kepada jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bahawa kerajaan memperuntukkan RM748.26 juta membina dan menyelenggara 611 buah masjid tetapi satu jumlah kecil, iaitu RM9 juta diagihkan untuk tujuan agama bukan Islam, iaitu 1.2 peratus sahaja.

Justeru beliau memohon supaya agihan lebih adil disalurkan kepada rakyat beragama bukan Islam kerana prinsip pertama Rukun Negara adalah ‘Kepercayaan kepada Tuhan’.

Kor Ming yang membaca kenyataannya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini turut menegaskan bahawa agama Islam adalah agama suci yang mengajar semua pihak berlaku adil.

‘‘Saya berasa kesal bahawa laporan Utusan Malaysia dengan tajuk Kor Ming persoalkan kerajaan bina masjid adalah salah dan berunsur hasutan. Tajuk tersebut adalah dipapar oleh editor akhbar berkenaan tanpa pengetahuan saya.

‘‘Saya juga berasa kesal sesetengah pihak termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamed Sheikh Abd. Aziz dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) telah membuat kenyataan dan dakwaan tanpa membaca keseluruhan teks kenyataan saya,” katanya.

Kor Ming menambah, rakyat Malaysia harus mematuhi prinsip Rukun Negara tersebut dan rakyat bukan Islam juga perlu diasuh dan menerima ajaran agama yang betul.

Katanya, sebagai kerajaan yang adil, adalah tanggungjawab kerajaan membantu pembangunan pendidikan rohani rakyat bukan Islam.

‘‘Atas laporan akhbar yang berunsur hasutan dan memutar belit fakta sebenar, saya akan berbincang dengan panel peguam dan akan merizabkan hak mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak yang membuat laporan tidak bertanggungjawab tersebut,” katanya.

Ditanya mengenai kemarahan NGO Islam adalah kerana tindakannya membandingkan peruntukan untuk masjid dalam meminta kerajaan memberi peruntukan tambahan kepada rumah ibadat bukan Islam, Kor Ming berkata;

‘‘Pertama kali saya hormati semua media yang buat laporan benar tetapi yang dilapor oleh akhbar Utusan Malaysia tak macam ini. Kita lihat (hari ini) ‘‘Isu Bina Masjid: Kor Ming dibidas. Semalam tajuknya Kor Ming persoal bina masjid. Itu tajuk dibuat editor, orang baca orang marah.. itu tak betul.

‘‘Patutnya kita lebih beretika membuat laporan sebenar dan apa yang hendak kata adalah dalam kenyataan yang saya baca ini.

‘‘Harap laporkan ikut kenyataan yang saya baca dan itu terpulang kepada pembaca untuk menilai sama ada watak saya macam mana dari rekod saya pemimpin untuk semua bangsa. Abang (wartawan Utusan) boleh menilai saya dari ucapan dan tingkah laku saya,” jelasnya.

Ahli Parlimen Shah Alam dari Pas, Khalid Samad yang hadir pada sidang akhbar itu turut mencelah: ‘‘Kalau dia (Kor Ming) tak buat perbandingan macam mana orang nak tahu yang RM9 juta itu cukup tak cukup.

‘‘Dalam perbandingan itu bukan bertujuan supaya yang perbelanjaan untuk bukan Islam sama dengan jumlah itu. Tetapi (jumlah untuk bukan Islam) terlalu kecil.. jauh sangat.’’

Ditanya kepada Kor Ming sama ada dia bersependapat dengan penjelasan Khalid itu, beliau berkata;

‘‘Kekanda saya telah jelas .. Ya dengan niat murni (bangkitkan soal itu),” jelasnya.