Pages

Wednesday, December 16, 2009

Bajet: Speaker kecam pembangkang, jangan perangkap kerajaan

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani

KUALA LUMPUR, Dis 15 — Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengecam sikap Pakatan Rakyat yang didakwa cuba mengambil kesempatan situasi “cemas” di Dewan Rakyat yang membahaskan peringkat akhir Bajet 2010 malam tadi.

Bajet 2010, belanjawan sulung Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri hampir menemui kegagalan dengan ditolak oleh ahli-ahli Parlimen. Ia diluluskan dengan 66 menyokong dan 63 menolak.

Pandikar berpendapat tindakan memerangkap kerajaan dalam keadaan tercungap-cungap bukan satu perbuatan terhormat.

“Pembangkang tidak seharusnya mengambil kesempatan dengan situasi ini apabila tidak cukup Ahli Parlimen BN (di Dewan Rakyat) ketika itu,” kata beliau ketika ditemui wartawan di pejabatnya di bangunan Parlimen hari ini.

Pandikar menambah, beliau berpandangan bahawa jika undi tidak percaya dibawa oleh pembangkang bermakna mereka percaya bahawa wakil rakyat kerajaan akan menyertai Pakatan Rakyat.

Tambah beliau, Parlimen merupakan “kelab bagi orang terhormat” bagi kedua-dua parti kerajaan dan pembangkang untuk membahaskan kepentingan nasional.

Oleh itu kata Pandikar, anggota perundangan BN juga tidak harus mengambil mudah kedudukan majoriti mereka di Dewan Rakyat.

“Bagi BN, mereka tidak harusnya mengambil mudah mana-mana sidang. Saya duduk di sana dan saya juga memikul bahagian tanggungjawab saya,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan ahli-ahli Parlimen tidak kira parti hanya akan berada di Dewan Rakyat jika sesuatu isu itu menyentuh kepentingan mereka.

“Jika tidak mereka tidak akan berada di Dewan Rakyat,” katanya.

BN mempunyai 137 wakil di Dewan Rakyat yang terdiri daripada 222 anggota. PR pula mempunyai 82 orang manakala tiga yang lain merupakan Bebas.

Sidang Dewan Rakyat lewat malam tadi menyaksikan Bajet 2010 hampir ditolak. Ia diluluskan dengan 66 menyokong dan 63 lain menolak.

Dalam pada itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menekankan bahawa wakil BN perlu lebih berhati-hati dengan melihat kehadiran di Parlimen sebagai perkara serius.

“Saya merasakan bahawa mulai sekarang mereka perlu lebih berhati-hati, tidak sama sekali mengambil mudah.

“Ini adalah Parlimen yang sungguh berbeza dan saya berharap Ahli Parlimen kedua-dua sebelah akan menjalankan tugas mereka dengan serius.

“Jadi, saya berharap ini pengajaran bagi semua,” katanya.

Nazri mengakui pengalaman semalam merupakan yang kali kedua dan sunggu menakutkan memandangkan ia membabitkan rang undnag-undang perbekalan.

“Saya berharap mereka akan mengambil serius perkara ini khususnya wakil rakyat dari BN untuk menghadiri sidang Parlimen,” kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen.

Nazri berkata beliau tidak boleh melakukan apa-apa memandangkan setiap wakil perundangan sudah dimaklumkan tanggungjawab mereka.