PORT-AU-PRINCE: Mayat bertimbun dan kes curi makanan mula dilaporkan ketika penghantaran bantuan kepada mangsa gempa bumi Haiti turut bermasalah berpunca daripada keadaan jalan raya yang teruk dan kerosakan di pelabuhan serta lapangan terbang.
Ada mayat dibiarkan di tepi jalan dan hanya ditutup kain. Ada juga yang dikebumikan di tepi bukit tetapi beratus-ratus lagi diletak di depan rumah mayat, tidak jauh daripada mangsa yang terselamat.
"Sukar untuk diceritakan. Bencana dan kemusnahan terlalu besar. Semua orang menutup hidung kerana tidak tahan dengan bau mayat yang boleh dilihat di mana-mana saja," kata Karel Zelenka, wakil Perkhidmatan Bantuan Katolik.
Palang Merah Antarabangsa menganggarkan 50,000 maut kerana gempa, Selasa lalu. Mayat dibiarkan di tepi jalan dan dekat kediaman supaya saudara mara yang terselamat dapat berusaha mengebumikannya.
Mencuri makanan dan bekalan keperluan juga satu masalah yang sentiasa dihadapi tempat yang dilanda bencana. Di Port-au-Prince, kecurian tertumpu di pusat komersial lama di kawasan dipenuhi kedai, pasar dan sebilangan rumah.
SEKUMPULAN penduduk mencuri minyak tanah dari sebuah lori tangki di Port-au-Prince.
Suasana seperti zon perang. Beberapa bangunan terbakar, asap menyelubungi hampir semua tempat dan mayat bergelimpangan selepas Haiti dilanda gempa 7 skala Richter.
Keadaan semakin tegang apabila ada sekumpulan pemuda membawa pisau memasuki kedai dan mencuri apa saja barang yang boleh dibawa.
Mereka mundar mandir di jalan raya, mengacu pisau dan bersaing dengan kumpulan lain hingga pergaduhan meletus.
Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) berkata, gudangnya di Port-au-Prince dimasuki pencuri.
Tempat itu menempatkan 15,000 tan makanan simpanan sebelum gempa melanda.
Beratus-ratus ribu rakyat Haiti berada dalam kelaparan selepas gempa itu melanda. Jurucakapnya, Emilia Casella menekankan bahawa kecurian adalah perkara biasa dalam keadaan kecemasan. Agensi/AP