Pages

Tuesday, January 12, 2010

Umno Rantau Panjang golak lagi, ketua didesak berundur

Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU, Dis 13 — Umno Rantau Panjang bergolak kembali dengan sebahagian ahli jawatankuasa bahagian itu mendesak Ketuanya Abdullah Mat Yasin supaya melepaskan jawatannya segera.

Desakan itu dibuat ekoran kegagalannya merungkai kemelut yang dihadapi sejak setahun lalu.

Antara punca kemelut mengundang rasa tidak puas hati ialah pemecatan 34 penghulu di bahagian tersebut tanpa sebarang notis.

“Anehnya, tiba-tiba kini dilantik penghulu baru,” kata seorang ahli jawatankuasa Yaacob Junoh kepada The Malaysian Insider.

Difahamkan pemecatan 34 penghulu terbabit berlaku pada Jun 2008.

Sebelum ini pimpinan Umno di peringkat cawangan bahagian tersebut pernah mengancam untuk keluar parti atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.

Yaacob berkata desakan itu bukan sahaja merujuk kepada masalah pemecatan penghulu tetapi juga mesyuarat bahagian sah gagal dilaksanakan sehingga sekarang.

“Kita menggesa dan bersedia untuk mengadakan pemilihan semula,” jelasnya di samping menyifatkan desakan itu adalah satu cara bagi memastikan pemilihan dilakukan dengan telus dan Umno Rantau Panjang tidak terus diancam dengan konflik dalaman.

Konflik Umno Rantau Panjang bermula sejak setahun lalu apabila kesahihan pelantikan Abdullah sebagai ketua bahagian dipertikai kerana dikatakan tidak dipilih melalui persidangan perwakilan bahagian.

Sebelum itu jawatan ketua bahagian disandang Datuk Mohd Zain Ismail.

Mohd Zain digantung jawatannya selama tiga tahun oleh Lembaga Disiplin Umno atas kesalahan cuba mensabotaj parti pada pilihan raya umum 2008.

Turut diragui ialah pelantikan timbalan ketua bahagian serta ketua Pemuda dan Wanita.

Dalam reaksi segera Abdullah menyifatkan mereka sebagai golongan yang bersifat tidak puas hati.

“Saya sendiri pun tidak faham apa sebenarnya yang mereka mahukan.

“Segala-galanya dilakukan mengikut prosedur,” jelasnya semasa dihubungi.

Turut dinafikan Abdullah ialah dakwaan kononnya mesyuarat bahagian tidak dilaksanakan sehingga kini.

“Mustahil semuanya... jika tidak melaksanakan apa yang didakwa mereka itu masakan pentadbiran Umno bahagian (Rantau Panjang) terus berjalan dengan baik,” katanya.

Dalam nada yang sinis Abdullah berkata beliau sungguh hairan kerana selepas sekian lama terlibat dalam perjuangan parti, mereka masih gagal memahami perkara berkenaan.

Sebelum ini, bekas Penyelia Pembangunan Mukim Wan Yaacob Wan Ismail mendakwa pernah memaklumkan kepada Pengerusi Perhubungan Umno negeri Datuk Mustapa Mohamad serta timbalannya, Datuk Dr Awang Adek agar menyelesaikan segala kemelut dalam Umno bahagian berkenaan.

Namun sampai sekarang tiada sebarang perubahan, kata beliau.