Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia berpendapat bahawa agenda agenda ketua dan pengarang kanan Utusan Malaysiatidak ada kena mengena dengan kebebasan media, sebaliknya hanya memenuhi keperluan "tuan politik" masing-masing.
Sehubungan itu, Presiden NUJ, Hata Wahari berkata, pihaknya menggesa agar pemimpin politik tidak terus menyalahkan akhbar itu, sebaliknya menunjukkan rungutan serta rasa tidak senang hati mereka kepada Ketua Pengarang Datuk Aziz Ishak secara terus.
"NUJ Malaysia melihat adalah tidak adil untuk menyalahkan akhbarUtusan Malaysia yang di dalamnya terdapat wartawan, jurugambar dan artis grafik serta pekerja-pekerja lain yang tidak berkongsi agenda serta tidak mempunyai kuasa untuk menegur ketua pengarang dan pengarang-pengarang Kanan," tambahnya.
"Ketua Pengarang sebagai orang yang menentukan agenda, berita dan pelbagai pendapat untuk disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysiaharus dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kesan negatif, rungutan dan sebarang rasa tidak puas hati yang dilemparkan kepada akhbar Utusan Malaysia."
Hata juga mengingatkan bahawa kesan negatif yang melanda Utusanakan menjejaskan kehidupan kira-kira 1,000 pekerja dan ahli keluarga mereka yang bergantung kepada akhbar milik Umno itu.
Dalam kenyataan sulungnya selepas dipilih sebagai presiden baru NUJ, Hata juga berkata pertelagahan antara Utusan dengan pemimpin-pemimpin politik - baik dari BN dan Pakatan Rakyat - adalah sesuatu yang mendukacitakan dan tidak memberi manfaat kepada akhbar tersebut.
"Akhbar seharusnya berperanan untuk menyampaikan maklumat kepada pembaca dan bukan membentuk pendapat pembaca," kata Hata.
Beliau juga menegaskan pertelagahan yang berlaku sekarang sebenarnya antara ketua pengarang akhbar itu dan pengarang kanan yang mempunyai agenda serta kuasa mutlak dengan pemimpin politik.