Pages

Monday, September 26, 2011

Untuk Islam dan di Kelantan sahaja

Sementara itu, pakar undang-undang perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, beliau yakin undang-undang ini boleh dilaksanakan jika Umno sedia bekerjasama untuk melaksanakannya.

"Jika Umno menolak melakukan ini, maka PAS boleh mencanangkan perkara ini ke seluruh negara bagi mendedahkan tembelang sebenar Umno. Selama ini, Umno telah melakukan pelbagai perkara untuk membuktikan bahawa mereka adalah pembela dan pejuang Islam yang sebenar. Antara contohnya, seperti serbuan gereja di Selangor, isu kepala lembu dan sebagainya," tulis Abdul Aziz.

Bagi beliau, PAS bersedia bertarung pada pilihan raya umum akan datang tanpa DAP. Mereka masih mempunyai PKR dan Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (DHPP) mereka sendiri.

"Saya tidak pasti jika DAP, MCA dan Gerakan benar-benar mewakili masyarakat bukan Islam. Masalah dengan parti-parti Cina adalah kerana mereka berfikiran hudud tidak boleh diterima meskipun perlembagaan tidak menyatakan demikian," tulisnya.

"Golongan berkecuali atau atas pagar di kalangan masyarakat bukan Islam saya fikir adalah rasional, mereka tidak bimbang, khususnya selepas Tok Guru memberi jaminan bahawa hukum hudud akan hanya dilaksanakan di Kelantan dan untuk umat Islam sahaja," jelas beliau.