Pages

Wednesday, November 30, 2011

Mohammad Faisol diLantik Pengerusi PKR Perlis

Kemelut PKR Perlis selesai

pkr

KANGAR - Pengarah Pilihan Raya PKR Perlis, Mohammad Fisol Abdul Rahman telah dilantik sebagai Pengerusi PKR Negeri yang baru berkuat kuasa pada pertengahan Oktober lalu setelah menerima surat pelantikan daripada Setiausaha Agong PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan menjangka akan melantik barisan kepimpinan PKR negeri baru setelah pulang daripada menghadiri Kongres Mesyuarat PKR di Kuala Lumpur, minggu hadapan.

Mohammad Fisol menjangkakan pelantikan barisan kepimpinan PKR negeri baru tidak banyak mengalami perubahan dan yakin barisan lantikan baru mampu membantu merealisasikan hasrat PKR dan PR menawan negeri Perlis demi kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Isu pelantikan kepimpinan PKR negeri yang diumumkan Johari tempoh hari tidak mendapat pengiktirafan PKR Pusat kerana beliau tidak lagi dilantik sebagai Pengerusi Negeri, manakala beberapa pemimpin lain telah tewas dalam pemilihan parti di peringkat cabang tempoh hari.

“Justeru, tampuk kepimpinan PKR Perlis ketika itu diambil alih secara sementara oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman bagi memulihkan kembali keadaan parti yang agak berpecah disebabkan isu perebutan jawatankuasa kepimpinan parti,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan pelantikannya sebagai pengerusi parti yang baru di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Mohammad Fisol berkata, isu kekeliruan kepimpinan PKR Perlis kini dianggap selesai setelah Mansor yang juga Pengerusi PKR Pulau Pinang secara rasminya menyerahkan tugas Pengerusi PKR Negeri yang dipangkunya kepada beliau bulan lalu dan mendapat restu PKR Pusat.

Menurutnya, fokus parti itu kini tertumpu kepada persiapan menghadapi PRU ke-13 memandangkan PKR Perlis kini sudah mengenal pasti beberapa kerusi Dun dan Parlimen yang dianggap berpotensi untuk dimenangi daripada tangan BN.