Pages

Wednesday, November 23, 2011

SMM tuntut penjelasan Mais sekat Aziz Bari

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menuntut Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memberi penjelasan segera berhubung tindakan mengarahkan kertas kerja Prof. Dr. Abdul Aziz Bari ditarik balik daripada dibentangkan.

Pengerusinya, Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, tindakan itu merupakan satu lagi tindakan yang bercanggah dengan prinsip kebebasan akademik dan kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

"Mahasiswa menuntut Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa memberi penjelasan segera dan memohon maaf segera sebagai tanda menghormati konsep kebebasan akademik yang dituntut oleh ramai pihak," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Abdul Aziz sebelum ini menerima jemputan daripada Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) untuk membentangkan satu kertas kerja dalam seminar esok.

Bagaimanapun, Aziz pagi tadi menerima notis daripada Kuis yang memaklumkan Mais mengarahkan pihak penganjur membatalkan pembentangan kertas kerja tersebut.

Syukri berkata, mahsiswa tidak teragak-agak untuk mengadakan demonstrasi lebih besar daripada yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sebelum ini jika Mais memandang remeh tuntutan mereka.

"Mahasiswa juga memberi amaran bahawa sekiranya mais gagal memberi penjelasan segera dalam isu ini, mahasiswa tidak teragak agak untuk bertindak secara lebih drastik seperti yang pernah berlaku di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia," katanya sambil mendakwa Mais mengambil tindakan "menghukum" walaupun kes Abdul Aziz yang didakwa mengkritik Sultan Selangor masih dalam siasatan.

Justru, SMM akan menyusun pertemuan dengan pihak Mais bagi mendapatkan penjelasan secara bersemuka dan akan menyerahkan memorandum kebebasan akademik sebagai tuntutan agar pihak Mais menghormati konsep kebebasa alademik.

"Pertemuan tersebut juga akan membincangkan permasalahan berkaitan isu mahasiswa Kuis yang sebelum ini dibebankan dengan masalah kadar yuran yang membebankan mahasiswa," katanya.

Tambahnya, meskipun Kuis terletak di bawah Mais, Mais sewajarnya bertindak lebih profesional bagi memastikan aktiviti akademik tidak terjejas.

"Mais seharusnya lebih profesional dengan tidak menjadikan isu yang berlaku sebagai sentimen seterusnya bersifat prejudis sehingga merugikan institusi akademik.

"Mais selaku badan Agama Islam yang utama di Selangor tidak seharusnya mengambil tindakan yang mencemarkan imej badan itu yang selama ini dihormati oleh masyarakat," ujarnya.