Pages

Wednesday, February 29, 2012

Red Warriors tak bayar sewa KTC RM72,000

Salmah Mat Husain,29 Feb 2012

KOTA BHARU, 29 Feb:Peminat pasukan The Red Warriors jangan terkejut apabila restoran milik Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) di Kelantan Trade Centre (KTC) di sini tertunggak hutang hampir RM72,000.

Restoran tersebut menyewa lot perniagaan di KTC Convention & Apartment Sdn Bhd bermula 1 April tahun lalu dan tempoh perjanjiannya bakal berahir 31 Mac ini.

Kadar sewaannya sebanyak RM5,000 sebulan, memandangkan lokasi begitu strategik.

Ketua Pegawai Operasi KTC, Aziz Desa berkata, pelbagai usaha dilakukan termasuk menghantar surat peringatan kepada Kafa, namun mereka masih tidak mengedahkan.

Katanya, surat ‘mesra’ kepada Setiausaha Agung Kafa sudah dihantar bertanyakan status restoran berkenaan, namun tiada sebarang jawapan diterima.

“Sebagai sebuah restoran yang menjadi kebanggaan penyokong dan pengurusan pasukan berwibawa, kita berharap Kafa lebih komited kepada perjanjian yang dipersetujui.

“Jika Kafa ada masalah kewangan, kami sedia mendengar dan bukan terus berdiam diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Restoran tersebut terletak bersebelahan dengan Dewan Konvensyen KTC dan tidak jauh daripada Stadium Sultan Muhammad Ke-IV serta Hospital Pakar Perdana.

Oleh itu Aziz berharap Kafa segera memberi maklum balas sama ada mahu terus mengusahakan Restoran The Red Warriors atau sebaliknya.

Menurutnya mengikut perjanjian, Kafa perlu mengemukakan notis dalam tempoh tiga bulan kepada KTC sama ada ingin meneruskan operasi atau tidak.

Bagaimanapun, tambahnya sehingga kini Kafa gagal mematuhi perjanjian yang dimenterai bersama.