Pages

Friday, July 27, 2012

Pelancaran akaun Amanah Tabung Lebuh Raya Rakyat di Karangkraf

27 Julai 2012 - Sinar Harian Online
 Gambar : Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
SHAH ALAM – Majlis pelancaran akaun Amanah Tabung Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai akan dilancarkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, pada 4 Ogos depan.
Menurut pengarah majlis pelancaran ini, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Kerajaan Negeri Kelantan mengalu-alukan seluruh warga di Lembah Klang, terutama sekali warga kelahiran Kelantan, hadir memeriahkan majlis berkenaan yang dianjurkan Persatuan Anak Kelantan Di Perantauan Malaysia (Perakan) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan.
“Majlis ini dijadualkan bermula selepas solat Asar dengan ceramah berkaitan wakaf korporat oleh tokoh korporat terkenal, Tan Sri Muhammad Ali Hashim dan diikuti taklimat mengenai pembinaan lebuh raya rakyat oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa.
“Menteri Besar turut akan memberi amanat penting kepada 3,000 orang yang dijangka hadir pada majlis itu sebelum melancarkan Akaun Amanah Tabung Lebuh Raya ini serta disusuli penyerahan sumbangan daripada orang ramai dan berbuka puasa,” kata Abdul Fattah ketika ditemui, di sini, semalam.
Dengan adanya akaun amanah lebuh raya rakyat ini, kata Abdul Fattah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara rasmi boleh menyalurkan semua sumbangan yang diperoleh ke dalam akaun berkenaan.